BAGAIMANA BERTAWAKAL
Dalam surah At-Talaq ayat 3 Allah berfirman, "SESIAPA YANG
BERTAWAKAL KEPADA ALLAH MAKA ALLAH MENCUKUPKAN KEPERLUANNYA."
Untuk mencapai kecemerlangan, selepas setiap perancangan, usaha
dan jihad dilakukan, kita perlulah bertawakal kepada Allah.
Dalam kitab 'Dalilul Falihin' dinukilkan definisi dari kitab
'Al-Hikmat' yang mendefinisikan tawakal sebagai "YAKIN SEPENUHNYA
KEPADA DIA YANG MEMBERIKAN JAMINAN (iaitu ALLAH). "Imam Abu
Uthman Al-Hairi pula mendefinisikan tawakal sebagai "berasa cukup
dengan Allah dan bergantung kepadanya."
Kita bertawakal kerana secara dasarnya kita tidak memiliki apa-
apa pun tanpa keizinan Allah. Usaha yang kita lakukan pun
berlaku dengan izinnya. Justeru dalam sebuah hadis oleh Imam
Al-Hakim, nabi menggalakkan umat Islam berkata,
"Lahaula wala quwwatailla billah"
Ia bermaksud, "Tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan
disisi Allah."
Mereka yang bertawakal akan mendapat keuntungan yang besar.
Imam Tirmizi meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud ;
"Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal
kamu akan dikurniakan rezeki sebagaimana burung-burung
dikurniakan rezeki, berpagi-pagi ia keluar dengan perut kosong
dan berpetang-petang ia kembali kekenyangan."
Tawakal dan Usaha
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tawakal memerlukan usaha. Dalam 'Dalilul Falihin' dinukilkan
perkataan Imam Qusyairi yang bermaksud ;
"Ketahuilah tempat bagi tawakal ialah dihati. Ada pun
pergerakan zahir (iaitu usaha), ia tidak membatalkan tawakal
yang di hati kerana si hamba telah meyakini bahawa apa yang
akan berlaku adalah mengikut ketetapan Allah. Jika dipermudah-
kan usahanya maka ia berlaku dengan kehendak Allah demikianlah
juga sebaliknya."
Dalam berusaha hukum sebab musabab tidak boleh dilupakan.
Mengikut Bukhari dan Muslim, nabi menyimpan untuk keluarga
baginda makanan untuk setahun. Dalam konteks yang sama, nabi
telah menegur seorang arab badwi yang membiarkan untanya merayau-
rayau dengan berkata; "Ikatlah ia dan kemudian hendaklah kamu
bertawakal." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi.
Demikian juga dalam aspek pengubatan. Apabila kita mendapat
sakit kita disuruh berubat. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi
dan Ibn Majah meriwayatkan sabdi nabi yang bermaksud, "Berubatlah
wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah telah menjadikan penyakit
dan ubat."
Imam Al-Ghazali telah merumuskan konsep ini dalam kitab 'Ihya
Ulumuddin' dengan berkata, "Tidaklah mengurangkan tawakal dengan
mengunci rumah ketika keluar dari rumah atau ketika menambat unta
(kenderaan), kerana kesemua ini dikenali sebagai sunah Allah."
Adab-adab Tawakal
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tawakal dan usaha berhubung harta benda mempunyai adab-adabnya.
Imam Al-Ghazali menggariskan enam adab dalam kitab Ihya Ulumuddin.
1. Mengunci pintu rumah untuk memelihara harta. Malik bin Dinar
mengikat pintu rumahnya dengan tali.
2. Tidak ditinggalkan didalam rumah benda-benda berharga yang
dapat menarik perhatian pencuri untuk mencuri.
3. Ketika keluar dari rumah hendaklah seseorang itu serahkan
keselamatan rumah itu kepada Allah dan dia reda dengan
ketetapan Allah. Jika berlaku kecurian dia tetap reda dengan
Allah.
4. Tidak bergundah gulana jika harta bendanya dicuri. Sebalik-
nya dia bergembira dan berkata, "Jika ada kebaikan pada harta
ini pasti ia tidak akan dicuri." Unta sahabat Abdullah ibn
Omar pernah dicuri orang. Beliau mencari unta itu sehingga
kepenatan dan akhirnya beliau berkata, "(Unta itu aku serah-
kan) pada jalan Allah."
5. Tidak didoakan kemelaratan dan musibah bagi pencuri itu
kerana perbuatan itu membatalkan tawakal.
6. Dia berdukacita bagi pencuri itu kerana pencuri itu telah
melakukan maksiat dan maksiat mendekatkan seseorang pada azab
Allah. Dia bersyukur kepada Allah kerana dia berada di pihak
yang teraniaya dan bukan yang menganiaya.
Wasalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home