Wednesday, September 14, 2005

TUTUP AURAT KOLOT ?

Lelaki dan perempuan mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu
didalam Islam. Allah berfirman;
"ORANG-ORANG YANG BERIMAN, LELAKI DAN WANITA, SEBAHAGIAN MEREKA
ADALAH PENOLONG KEPADA SEBAHAGIAN YANG LAIN. MEREKA MENYURUH
KEPADA YANG MAKRUF, MENCEGAH KEMUNGKARAN, MENDIRIKAN SOLAT,
MENUNAIKAN ZAKAT SERTA MENTAATI ALLAH DAN RASUL-NYA. MEREKA
AKAN DIBERI RAHMAT OLEH ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PERKASA
LAGI MAHA BIJAKSANA."
- ( Surah At-Taubah ayat 71 )
TABARRUJ JAHILIAH
-----------------
Salah satu tanggungjawab yang wajib dilakukan ialah memelihara
adab dan kesopanan dalam aspek pemakaian dan pergaulan. Wanita
dan lelaki wajib menutup aurat dalam batas-batas yang tertentu.
Dalam konteks wanita, Allah melarang wanita Islam dari tabarruj
jahiliah melalui firmanNya, "DAN HENDAKLAH KAMU TETAP DIRUMAH MU
DAN JANGANLAH KAMU BERTABARRUJ JAHILIAH SEPERTI ORANG-ORANG
JAHILIAH TERDAHULU.." - ( Surah Al-Ahzab ayat 33 )
Apakah maksud tabarruj jahiliah ?
Berhubung dengan ayat ini, Imam Mujahid berkata; "Suatu ketika
dahulu, golongan wanita berjalan di hadapan lelaki (tanpa segan
silu). Inilah yang dimaksudkan sebagai 'tabarruj jahiliah'."
Imam Qatadah pula berkata; "Suatu ketika dahulu, kaum wanita
berjalan dihadapan lelaki dengan gaya yang menggairahkan. Inilah
yang dimaksudkan dengan tabarruj jahiliah yang terdahulu."
Imam Muqatil bin Hayyan pula berkata; "Tabarruj berlaku apabila
kaum wanita menutup kepala mereka dengan kain tudung tetapi masih
mendedahkan leher, rantai dan dan subang mereka."
- ( Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa)
Ayat ini tidak bermaksud untuk mengongkong pergerakan wanita
Islam. Ia juga tidak bermaksud tempat bagi kaum wanita hanyalah
di dalam rumahnya sahaja kerana Nabi pernah mendoakan agar Ummu
Haram R.A. dapat keluar berperang di lautan bersama-sama dengan
tentera Islam yang lain. Tambahan dari itu, Khalifah Omar Al-
Khattab R.A pernah melantik seorang wanita yang bernama Ummu
As-Syifa binti Abdullah menjadi penyelia di pasar Madinah.
Islam mengizinkan wanitanya keluar rumah untuk suatu keperluan
yang baik, seperti mencari ilmu samaada yang fardu ain atau fardu
kifayah, menziarahi ibu bapa serta mencari rezeki yang halal demi
memenuhi keperluan hidup, dengan batas-batas yang telah ditetap-
kan. Ayat ini sebenarnya bertujuan untuk memuliakan kaum wanita
dan menyuruh mereka agar sentiasa menjaga kemuliaan itu di
samping memelihara sebarang kelebihan yang Allah kurniakan
kepada mereka, seperti kecantikan.
Menutup aurat bukannya lambang penindasan bagi wanita sebaliknya
lambang ketinggian harga diri yang tidak dipentingkan oleh wanita
jahiliah. Islam merupakan agama yang menekankan akhlak dan adab
di dalam semua perkara termasuk di dalam aspek pemakaian. Umat
Islam, lelaki dan perempuan, yang sudah baligh wajib menutup
aurat mengikut batas yang telah ditetapkan agama.
Berhubung dengan wanita Islam, di antara ayat yang menjelaskan
tentang batas auratnya ialah firman Allah di dalam Surah
An-Nur ayat 31 yang bermaksud ;
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka
memelihara pandangan mereka dan kemaluan mereka, dan janganlah
mereka menampakkan perhiasan kecuali 'yang biasa ternampak
daripadanya'. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dada
mereka, dan jangan menampakkan perhiasan kecuali kepada suami
mereka, ayah mereka, ayah suami mereka, putera-putera mereka,
putera-putera suami mereka, saudara-saudara lelaki mereka,
putera-putera saudara lelaki mereka, putera-putera saudara
perempuan mereka, wanita-wanita mereka, budak-budak yang mereka
miliki, pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan
terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengerti tentang
aurat wanita"."
Seperti yang telah disebutkan, ketika ayat ini diturunkan, kaum
wanita membudayakan sejenis pakaian tudung yang menutupi bahagian
kepala tetapi masih mendedahkan leher, telinga dan bahagian atas
dada mereka. Justeru ayat ini diturunkan agar kaum wanita
memakai tudung kepala yang dilabuhkan sehingga menutupi bahagian-
bahagian itu.
Hal ini telah disebutkan oleh Imam Qartubi di dalam Al-Jamik Li
Ahkamil Quran. Walau bagaimana pun di dalam berpakaian, mereka
boleh mendedahkan "(perhiasan) yang biasa ternampak daripadanya."
Abdullah ibn Abbas mentafsirkannya sebagai "muka dan dua tapak
tangan". Abdullah ibn Omar mentafsirkannya sebagai "muka dan dua
tangan". Lebih dari itu, perhiasan yang terdapat di bahagian
muka dan dua tangan seperti cincin, celak, inai dan seumpamanya,
boleh didedahkan ketika berdepan dengan bukan muhrim. Kesemua
pendapat ini disebutkan oleh As-Sheikh Said Hawa di dalam
Al-Asas fit Tafsir.
Islam tidak menghalang wanita-wanitanya berpakaian mengikut
fesyen dan suasana asalkan ia menutup aurat seperti yang telah
dijelaskan, di samping tidak menjolok mata.
HAMKA di dalam Tafsir Al-Azhar berkata: "Tidaklah kesemua pakaian
Barat itu ditolak oleh Islam dan tidak pula seluruh pakaian
tempatan negeri kita dapat diterima. Kebaya Jawa yang menampak-
kan sebahagian dada tanpa selendang adalah termasuk pakaian yang
dilarang mengikut pandangan Islam."

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home