Tuesday, November 29, 2005

AHLI SYURGA

SEJARAH Islam mencatat bahawa terdapat sepuluh orang
sahabat Nabi s.a.w dijamin masuk syurga. Mereka terdiri
daripada empat Khalifah Ar-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Omar,
Uthman, Ali dan diikuti Talhah bin Ubaidillah, Az Zubir bin
Al-Awwam, Saad bin Abu Waqqas, Said bin Zaid, Abu Ubaidah
Al-Jarrah, Abdul Rahman bin Aus. Demikian juga para sahabat
yang terlibat dalam Perang Badar, juga Fatimah Az-Zahra,
Hassan bin Ali, Hussin bin Ali, Tsabit bin Qais, Bilal bin Rabah
dan kemudian disusul pula para sahabat yang menghadiri Bait
Ar-Ridhwan yang berjumlah seribu empat ratus sahabat r.a.

Dalam perjuangan mempertahankan agama Islam, keutamaan
mereka adalah berbeza dengan kaum Muslim yang lain dan
ketinggian darjat mereka ditentukan oleh siapa di antara
mereka yang paling dahulu masuk Islam.

Pengetahuan Nabi s.a.w. ke atas keistimewaan sahabat-sahabat
yang dijamin syurga ini berasaskan kepada wahyu Ilahi
bukan sekadar meneka-neka atau tafsiran nafsu semata-mata.
Apatah lagi kita manusia biasa atau yang memperoleh ilmu
Laduni sekalipun tidak mampu untuk menentukan seseorang
itu masuk syurga atau neraka kerana hak ini dalam
pengetahuan Allah s.w.t.

Rasulullah dan para sahabat walaupun sudah dijamin
syurga, namun hakikatnya mereka sentiasa menangis siang
malam memikirkan persoalan umat. Malah dari segi ibadah
ritual, mereka cukup hebat jika hendak dibandingkan dengan
kita amat jauh sekali. Malam mereka beribadah, siang mereka
berperang.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan
An-Nasai, Anas bin Malik menceritakan satu kejadian yang
dialami dalam satu majlis bersama Nabi s.a.w.

Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. duduk di masjid dan
berbincang-bincang dengan sahabatnya, tiba-tiba beliau
bersabda maksudnya:
Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk ke mari.
Beberapa saat kemudian masuklah seorang lelaki dengan air
wuduk yang masih membasahi wajahnya. Apakah gerangan
keistimewaan lelaki ini sehingga mendapat jaminan syurga.
Dipendekkan cerita, Abdullah Ibnu Amr yang ingin mengetahui
dan mencungkil rahsia keistimewaan lelaki ini kemudian
menemuinya dan menceritakan masalahnya dan memohon
untuk menumpang tidur di rumah lelaki tersebut.

Namun apa yang dilihat oleh Abdullah sepanjang tinggal
bersama lelaki tersebut ialah sama seperti orang lain yang
menjalani rutin kehidupan. Akhirnya Abdullah terpaksa
berterus terang dan lalu bertanya kepada lelaki
tersebut apakah yang diperbuat sehingga ia mendapat jaminan
syurga. Katanya tidak lain ialah saya tidak pernah
menyimpan niat buruk terhadap kaum Muslim dan merasa
iri hati terhadap seseorang yang dianugerah nikmat oleh
Allah. Tidak pernah pula saya melakukan penipuan dalam
setiap aktiviti saya. Itu saja kelebihannya dan yang lain-lain
samalah seperti orang ramai.

Membersihkan hati dan tidak menyimpan prasangka buruk
terhadap sesama Muslim nampak senang tetapi hakikatnya
amalan itulah yang amat susah untuk dilakukan.

Betapa sulit kita hendak menghilangkan kedengkian kepada
orang yang tidak sehaluan dengan kita. Atau hanya kerana
dia memperoleh kelebihan yang diberikan Allah dan
kelebihan itu tidak kita miliki. Di hari kiamat kelak tidak ada
orang yang selamat dengan harta dan kekayaan kecuali yang
membawa hati yang bersih.

Pada hari itu tidak ada manfaatnya di hadapan Allah
s.w.t. harta dan anak-anak kecuali orang yang datang
dengan hati yang bersih. (Surah al-Syuara ayat 89).

Banyak jalan untuk ke syurga, demikian juga jalan ke
neraka. Perbuatan menyebarkan berita palsu, memutuskan
silaturahim, mengumpat, mengadu domba, menyakiti orang lain,
membongkar aib orang beriman, semuanya ini jika dilakukan
walaupun kita solat, kita tetap akan dimasukkan ke neraka Saqar.
(Neraka paling bawah iaitu yang paling panas).
Seperti yang digambarkan dalam al-Quran, orang yang
sombong (QS 16:22), Orang yang membanggakan diri
(QS 28:76), Orang yang berlebih-lebihan (QS 6:41), Orang
yang bersifat dusta (QS 9:75), Orang yang membuat
kerosakan (QS 5:64), Orang yang melampau batas (QS 2:140)
semuanya harus dijauhi baik dalam hubungan duniawi apa lagi
dalam persoalan akhirat kerana mereka bagaikan seekor lintah
penghisap darah, apabila menempel pada kulit kehidupan
umat Islam, maka darah keimanan seseorang itu akan
dihisapnya habis-habisan.

Mereka ini dipandu oleh nafsu amarah dan lawammah yang
menjadikan mereka lalai dan sesat.

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan
orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya; Tuhan yang
dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi
pengawas yang menjaganya jangan sesat? (Surah al-Furqan
ayat 43).

Mereka yang bertuhankan hawa nafsunya, akan melakukan
apa sahaja yang dikehendakinya tanpa tersekat-sekat
dan tidak pula mahu mendengar nasihat pengajaran.

Sungguh jelas sekarang bahawa nafsu (nafs) manusia
merupakan persoalan syurga dan neraka. Kedua-dua
bahagian nafsu tersebut (jahat dan baik) masing-masing
boleh membawa manusia ke tempat asalnya yang dijanjikan
(the promising land) atau syurga dan ke tempat hukuman
neraka, kedua-duanya adalah kerajaan Allah s.w.t. yang
berada di dalam dirinya.

Apabila manusia tidak berusaha untuk mengenal diri dan
jiwanya, maka bencana dan kebinasaan akan datang kepadanya.

wASSALAM.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home