BERBUDI BAHASA
Nabi Muhammad S.A.W. merupakan contoh bagi kita semua. Sebagai
orang Islam kita memuliakan Nabi. Kita memuliakan Nabi dengan
mengikut landasan yang Nabi sampaikan kepada kita. Malah bukan
orang Islam sahaja yang memuliakan Nabi. Orang-orang yang bukan
Islam yang mengkaji tentang diri baginda juga memuliakan
Rasulullah.
Sebagai contoh Stanley Lane Poole, dalam buku beliau yang
bertajuk 'The Speeches and Table Talk of Prophet Muhammad'
berkata ;
"terhimpun pada diri Muhammad sifat lemah lembut dan gagah
berani sehingga seseorang yang cuba menilainya akhirnya
akan mengagumi dan mengasihinya. Beliau seorang yang
sanggup berdepan dengan kemarahan kaumnya. Beliau tidak
mudah melepaskan tangannya ketika bersalaman. Beliau
mengasihi kanak-kanak dan sentiasa melemparkan senyuman
di samping menuturkan kata-kata indah yang mulia kepada
mereka. Persahabatannya yang tulus, sikap pemurah,
keberanian dan kecekalan yang ada padanya, semua ini
mencairkan kritikan dan sebaliknya melahirkan kekaguman."
Lihat pandangan orang bukan Islam terhadap Rasulullah. Ini
kenyataan Stanley Lane Poole.
Bagaimana pula dengan Thomas Carlyle. Beliau dalam bukunya
'On Heroes, Hero-Worship, and the Heroic in History' berkata ;
"Muhammad bukanlah seorang yang mengikut nafsu. Rumahtangga-
nya hanya mempunyai perkara-perkara asas. Makanannya yang
biasa ialah roti dan air dan kadangkala selama berbulan-
bulan dapurnya tidak berasap. Umat Islam meriwayatkan
dengan rasa bangga bahawa Muhammad menjahit kasut dan
pakaiannya sendiri. Beliau amat beradap. Berbeza daripada
lelaki lain ketika itu. Jika tidaklah kerana sifat-sifat
ini, tidak mungkin orang-orang arab yang ganas dahulu yang
mengenalinya selama 23 tahun, akan menghormati dan
menyanjungi."
Thomas memuji Nabi Muhammad S.A.W.
Semua ini menyedarkan kita tentang keagungan Rasulullah S.A.W.
Maka tidak peliklah Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud ;
" KAMU YA MUHAMMAD BERAKHLAK DENGAN AKHLAK YANG AMAT AGUNG "
Orang-orang kafir seperti Stanley Lane Poole dan Thomas Carlyle
mengakui hakikat ini. Inilah Rasulullah. Baginda dapat menarik
perhatian orang lain dengan akhlak dan budi pekerti baginda yang
mulia.
Pada hari ini kita mementingkan budi bahasa. Kempen budi bahasa
terus berjalan. Tetapi sudahkah kita berbudi bahasa. Yang
berucap tentang kepentingan budi bahasa sudahkah anda juga
berbudi bahasa. Yang sering menampalkan kertas-kertas kempen
berbudi bahasa, anda yang sering menampal kertas itu sudahkah
berbudi bahasa. Orang yang macam saya dan anda yang banyak
bercakap dan berceramah tentang budi bahasa, sudahkah saya dan
anda berbudi bahasa.
Ibu bapa yang mahu anaknya berbudi bahasa, ibu bapa itu sendiri
sudahkah berbudi bahasa. Jangan kempen sahaja. Hayati kempen
itu.
Rasulullah tidak menampal kertas kempen. Rasulullah tidak banyak
berucap tentang budi bahasa. Rasulullah berbudi bahasa.
Rasulullah berjalan dengan budi bahasa. Bercakap dengan budi
bahasa. Hidup dengan budi bahasa. Maka orang melihat dan
mencontohi budi bahasa itu. Kesan dan impaknya begitu hebat
sekali. Jadi saya menyokong kempen budi bahasa yang ada pada
hari ini, teruskan dengannya. Ia satu niat yang amat baik
sebenarnya. Tetapi apa yang saya sebutkan ialah jangan berhenti
sekadar itu. Kita perlu sama-sama bersungguh-sungguh berbudi
bahasa dan kita ada contoh yang amat agong. Contoh itu ialah
Nabi Muhammad S.A.W.
Semoga kita sama-sama dapat mencontohi baginda.
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home