TEKNOLOGI CANGGIH DAN PERUBAHAN NILAI DI AKHIR ZAMAN
Kita berada di akhir zaman. Kejahilan tentang agama serta sikap
acuh tak acuh dengan agama wujud di mana-mana saja pada hari ini.
Berhubung dengan ini Nabi bersabda, "(Antara tanda kiamat ialah)
TERANGKATNYA ILMU DAN BERLELUASANYA KEJAHILAN."
- ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kejahilan tentang ilmu agama terutamanya di kalangan golongan
muda amat ketara pada hari ini. Sebagai contoh, keputusan PMR
bagi tahun 1995 di sudut fardu ain amat menyedihkan. 6779 pelajar
gagal di dalam mata pelajaran ini. 616 daripada mereka gagal
di dalam aspek mengucap dua kalimah syahadah, 1553 gagal di dalam
aspek rukun Islam dan 1901 pula gagal di dalam aspek rukun Iman.
Kejahilan menyebabkan umat Islam mudah terpedaya dengan muslihat
musuh sehingga akhirnya nilai kehidupan dalam masyarakat turut
berubah. Yang batil menjadi hak dan yang hak menjadi batil.
Manifestasi perubahan nilai ini amat ketara di era Dajal. Nabi
bersabda, "SESUNGGUHNYA DAJAL AKAN MEMBAWA AIR DAN API. APA
YANG DILIHAT MANUSIA SEBAGAI AIR, SEBENARNYA IA ADALAH API YANG
MEMBAKAR. APA YANG DILIHAT SEBAGAI API, SEBENARNYA ITU ADALAH
AIR YANG SEJUK LAGI LAZAT..." - ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan Dajal akan memalsukan hakikat dan kebenaran
bertujuan untuk mengelirukan masyarakat di dunia sehingga "API
DIPERLIHAT SEBAGAI AIR DAN AIR SEBAGAI API".
Untuk mencapai tujuan ini media massa di dalam bentuk TV, akhbar,
majalah, video, cakera padat dan sekarang internet dipergunakan
sepenuhnya.
Sebagai contoh, apabila berlaku tragedi 11 September 2001, media
massa di Barat menonjolkan Islam sebagai agama keganasan walaupun
tidak terdapat sebarang bukti yang menyokong pandangan itu.
Golongan Yahudi di Israel telah memanfaatkan suasana itu, justeru
rakyat Palestin yang selama ini ditindas dan dizalimi berjaya
ditonjolkan sebagai pengganas, dan sebaliknya pengganas Yahudi
ditonjolkan sebagai mangsa keganasan.
Berhubung dengan isu ini wartawan akhbar Independent, London,
yang terkenal, Robert Fisk, ketika menyampaikan ucapannya
di Universiti Concordia pada 17 November 2002 berkata, "Ucapan
saya pada malam ini tidak berkaitan dengan bahaya kewartawanan
sebaliknya saya ingin bercakap tentang bahaya yang diwujudkan
oleh kewartawanan. (Bahaya ini lahir) hasil dari tindakan
melaporkan kenyataan-kenyataan rasmi pihak kerajaan yang mengeli-
rukan tanpa tapisan di samping menerima tanpa persoalan kehendak
golongan atasan.... Sejak dari awal lagi melalui tulisan-tulisan
saya di dalam akhbar Independent, saya mengatakan peperangan yang
berlaku sekarang bukan bertujuan untuk menghapuskan keganasan
sebaliknya untuk menghancurkan musuh-musuh Amerika dan mungkin
juga musuh-musuh Israel...."
Akhir zaman juga merupakan era kelahiran pelbagai teknologi
canggih terutamanya teknologi komunikasi dan maklumat. Berhubung
dengan ini Nabi bersabda, "DEMI ALLAH, KIAMAT TIDAK AKAN BERLAKU
SEHINGGA BINATANG BUAS BERCAKAP KEPADA MANUSIA, HUJUNG CEMETI DAN
TALI KASUT SESEORANG BERCAKAP KEPADANYA SERTA PAHA SESEORANG
MEMBERITAHU KEPADANYA PERBUATAN YANG DILAKUKAN OLEH KELUARGANYA
DI BELAKANGNYA. " - ( Riwayat Tarmuzi )
Di akhir zaman manusia akan bercakap dengan menggunakan alat
komunikasi yang canggih dan dengan meledaknya teknologi
komunikasi maklumat, ramalan ini menjadi kenyataan. Antara
produk yang berjaya dihasilkan oleh teknologi ini ialah robot.
Mengikut Robot Institute of America (1979), robot ialah "alat
(mesin) pelbagai fungsi yang diprogram untuk menggerakkan
barangan serta alat melalui pergerakan-pergerakan tertentu.
Dengan itu robot boleh melakukan tugas-tugas tertentu (untuk
membantu manusia)." Mengikut kamus Webster, robot ialah "alat
automatik yang mampu melakukan kerja yang kebiasaannya dilakukan
oleh manusia. Ia adalah mesin dalam bentuk manusia."
Pada tahun 1956, seorang jurutera, Joseph F. Engelberger, bersama
dengan beberapa orang yang lain, telah menubuhkan sebuah syarikat
pengeluar robot bernama 'Unimation'. Mereka berjaya mengeluarkan
robot secara komersial dan robot pertama yang mereka hasilkan
dinamakan 'Unimate'. Dengan kejayaan itu Joseph F. Engelberger
digelar sebagai 'Bapa Ilmu Robotik'. Pada hari ini robot dicipta
agar boleh bercakap kepada manusia. Antara syarikat yang
mengeluarkan robot jenis ini pada hari ini ialah 'The Robot
Factory'.
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home