ADAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI
Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan
mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta`ala
membalasnya dengan satu hari yang dinamakan `Idulfitri atau Hari
Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta`ala menghalalkan mereka
berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar
ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara`
dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang
atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan
dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya
merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta`ala khusus kepada hamba-
hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang
bulan Ramadhan.
Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika
menyambut kedatangan Hari Raya?
Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya.
Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang
telah digariskan oleh Syara` untuk kita melakukannya ialah
menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat
seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan
sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan
melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta`ala telah menegaskan bahawa
malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah
diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya
Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan,
sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam
Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam
Rajab dan malam Nisfu Sya`ban.
Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu
tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan
sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat
yang shahih.
Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema.
Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk
memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat
untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu
wa Ta`ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran
dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.
Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita
lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan
`Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan
takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam
matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram
sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta`ala:
Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan
hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan
kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)
Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu `Abbas dan Al-Fakih bin
Sa`d Radhiallahu `anhum bahawa Rasulullah Shallallahu `alaihi
wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha.
Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang
sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala
bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak
keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya
ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari
untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja`far
bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu `alaihi wasallam memakai kain
yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap
kali Hari Raya."
(Hadits riwayat Al-Syafi`e dan Al-Baghawi)
Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat
Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana
mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu `alaihi
wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu
`anhu, beliau berkata:
Maksudnya: "Nabi Shallallahu `alaihi wasallam tidak keluar pada
waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih
dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan
ganjil."
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan,
maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan
tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya
daripada awak."
Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang
Tabi`en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu
`alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat
Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di
Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya
daripada awak."
Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari
Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari`atkan di dalam Islam.
Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa
memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan
dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang
disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang
dii`timadkan.(Al-Mausu`ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)
Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama
sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu
tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan
ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan
disyariatkan di dalam Islam.
Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang
diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu `anha, beliau berkata:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam masuk
kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi
dengan nyanyian Bu`ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan
memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu
mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat)
Nabi Shallallahu `alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu `alaihi
wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka
berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu
Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah
Hari Raya kita."
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-`Asqalani menerangkan di dalam kitabnya
Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar
Radhiallahu `anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu `alaihi
wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu `anhu
datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya
Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.
(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu`ah Al-Fiqhiyyah, Juz
31, m.s. 117)
Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan
kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap
etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah
meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan
muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada
di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai
untuk berziarah dan sebagainya.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan
sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta`ala iaitu
mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan
pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.
Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya
bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang
lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan
dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta`ala. Semoga kita semuanya
mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta`ala kerana
menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.
KEMERIAHAN Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema.
Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk
memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu. Ianya lebih bersifat
untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu
Wataala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran
dan keagungan-Nya dengan mengucapkan takbir.
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home