Wednesday, October 05, 2005

TANDA-TANDA CINTAKAN ALLAH

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 1/7
------------------------------
Seseorang itu hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang
enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda: "Siapa yang
ingin bertemu Allah, Allah ingin bertemunya." Memang benar ada juga orang
yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingatkan
kedatangan mati sebelum ia bersedia untuk pulang ke akhirat. Tetapi jika
ia betul-betul ikhlas, ia akan bertambah rajin berusaha untuk membuat
persediaan itu.

**************************************************************************

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 2/7
------------------------------
Seseorang itu mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk mengikut
kehendak Allah. Ia cuba sedaya upaya untuk menghampirkan diri kepada Allah
dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dari Allah. Dosa yang
dilakukan oleh seseorang itu tidaklah menandakan ia tidak cintakanlah Allah
sama sekali, tetapi itu menunjukkan bahawa ia tidak mencintai Allah sepenuh
jiwa raga. Fudhail bin Iyadh berkata kepada seseorang: "Jika sesiapa
bertanya kepadamu samada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam.
Jika kamu berkata: 'Saya tidak cinta kepadaNya', maka kamu kafir. Tetapi
jika kamu berkata: 'Saya cinta', maka perbuatan kamu berlawanan dengan
kata-katamu."

**************************************************************************

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 3/7
------------------------------
Ingat kepada Allah sentiasa ada dalam hati seseorang, tanpa ditekan atau
diusahakan benar. Ini kerana apa yang kita cintai itu sentiasa kita ingat.
Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya itu. Ada
juga kemungkinan bahawa sentiasa cinta kepada Allah itu tidak mengambil
tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada mencintai
Allah itu mungkin mengambil tempat jua. Cinta itu satu perkara dan cinta
kepada cinta itu adalah seperkara yang lain pula.

**************************************************************************

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 4/7
------------------------------
Seseorang itu cinta kepada Al-Quran, iaitu Kalam Allah dan cinta kepada
Nabi Muhammad iaitu Rasul Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia
akan cinta kepada semua manusia kerana mereka semuanya hamba Allah.
Bahkan cintanya meliputi semua makhluk, kerana orang yang cinta kepada
seseorang itu tentulah kasih juga kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh
kekasihnya itu termasuklah tulisan atau karangannya.

*************************************************************************

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 5/7
------------------------------
Seseorang itu suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat. Ia suka
malam itu lekas datang agar ia dapat berbicara dengan sahabatnya tanpa
gangguan. Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malamnya
maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada
Nabi Daud:
"Janganlah terlampau karib dengan manusia kerana ada dua jenis manusia
tersingkir dari majlisKu: iaitu mereka yang bertungkus lumus mencari
ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu; dan
mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melupai Aku.
Tanda tidak redanya Aku ialah Aku biarkan mereka begitu."
Pada hakikatnya, jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat
seluruhnya di dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada yang lain itu
tidak akan dapat mengambil tempat langsung di dalam hati itu. Diceritakan
bahawa seorang daripada Bani Israel berkebiasaan sembahyang di malam hari.
Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu
sekali, dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati
nyanyian burung itu. Allah menyuruh Nabi Daud berjumpa dia dan berkata:
"Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta
kepadaKu. Martabat engkau di kalangan auliya Allah telah diturunkan."
Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah. Di suatu hari
sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah, rumahnya terbakar. Ia tidak
nampak atau menyedari akan kejadian itu.

**************************************************************************

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 6/7
------------------------------
Ibadat seseorang itu senang sekali. Seorang wali Allah berkata: "Dalam tiga
puluh tahun yang pertama aku melakukan sembahyang malam dengan susah payah
sekali. Dalam tiga puluh tahun yang kedua pula sembahyang itu menjadi
seronok dan lazat pula." Apabila cinta kepada Allah itu sempurna, maka
tidak ada keseronokan yang setanding dengan keseronokan ibadat.

**************************************************************************

Imam Ghazali : Tanda-tanda Cintakan Allah 7/7
------------------------------
Seseorang itu cinta kepada orang yang taat kepada Allah dan benci kepada
orang-orang kafir dan orang-orang yang durhaka kepada Allah. Al-Quran
menyatakan: "Mereka itu berkasih sayang terhadap orang mukmin dan bersikap
keras terhadap orang-orang kafir."

Nabi bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan, siapakah kekasihMu?"
Terdengarlah jawapan, "Sesiapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi
dengan ibunya, mengambil perlindungan dengan mengingatiKu seperti burung
mencari perlindungan di sarangnya, dan yang marah melihat dosa seperti
singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."

Dipetik dari buku : Kimia'u Sa'adah (Kimia Kebahagian)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home