HADIS AKHIR ZAMAN 36 - BILA AMANAH SUDAH DIKHIANATI TUNGGULAH KEHANCURAN
Daripada Abu Hurairah R.A. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi
S.A.W. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-
cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi
(Arab Badwi) dan terus bertanya pada Rasulullah S.A.W.; "Bilakah
akan terjadi hari qiamat ?". Maka Nabi S.A.W. pun meneruskan
percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, "Beliau (Nabi)
mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak
disukainya". Dan yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak
mendengar pertanyaan itu." Sehingga apabila Nabi S.A.W. selesai
dari percakapannya beliau bersabda, "DIMANA ORANG YANG BERTANYA
TENTANG HARI QIAMAT TADI?". Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya,
saya hai Rasulullah". Maka Nabi S.A.W. bersabda, "APABILA AMANAH
TELAH DISIA-SIAKAN MAKA TUNGGULAH HARI QIAMAT". Arab Badwi itu
bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah
itu?". Nabi S.A.W. menjawab, "APABILA URUSAN DISERAHKAN KEPADA
YANG BUKAN AHLINYA, MAKA TUNGGULAH KEDATANGAN HARI QIAMAT."
- ( Hadis Riwayat Bukhari )
Keterangannya
-------------
Yang dimaksudkan dengan " Saa'aah " ialah Kiamat dan Kehancuran
Dunia. Kiamat disebut saa'aah sebab datangnya kiamat itu hanya
sekejap pandangan dengan masa yang sangat pendek.
Ditengah-tengah Rasulullah S.A.W sedang memberikan pengajaran
dan pendidikan kepada para sahabat, datanglah seorang pedusun
untuk menanyakan tentang bila sampai hari kiamat. Sebagaimana
Malaikat Jibrail pernah menanyakan hal yang sama kepada Baginda
dan Baginda hanya boleh memberikan tanda-tanda datangnya kiamat,
sebab masaalah kepastiannya hanya Allah S.W.T. sahaja yang Maha
Mengetahuinya. Dalam Hadis ini hanya diterangkan kepada beliau
diantara tandanya ialah apabila amanah disia-siakan. Yang
dimaksudkan apabila amanah itu disia-siakan ialah apabila suatu
urusan agama diserahkan kepada orang yang bukan ahli agama.
Kerana bukan ahli dalam bidang agama, tentu sahaja tidak mampu
mengelola dan melaksanakan sebaik-baiknya. Ia menjadi orang yang
lemah menjalankan tugasnya lantaran kebodohannya terhadap dasar-
dasar agama, dan memegang jawatan yang tidak layak baginya.
Sebagai contoh, urusan Feqah hendaklah diserahkan kepada orang
yang benar-benar ahli dalam bidang hukum feqah, dengan begitu
cara mengambil hukum akan melalui pertimbangan kaedah-kaedah
unsur Feqah. Begitu juga dengan yang lain-lain. Kalau tidak
akan mengakibatkan mengambil hukum dengan pertimbangan situasi;
sambil menurut hawa nafsu, bukan melalui akidah Islam.
Anak adalah amanah Allah yang harus dibimbing dengan sebaik
mungkin. Mula dari kecil hingga dewasa, orang tua berkewajipan
membimbing, mengarahkan, mendidik dengan kasih sayang menuju
kepada pemahaman tentang Islam, sebab baik dan tidaknya seseorang
itu banyak ditentukan keberhasilan dari orang tua yang membimbing
semenjak kecil lagi, apakah ia menjadi seorang muslim yang taat
atau pun menjadi orang yang ingkar dan derhaka. Sebagaimana
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :-
" SETIAP ANAK, DILAHIRKAN DIATAS FITRAHNYA, MAKA KEDUA ORANG
TUANYA YANG MENJADIKANNYA YAHUDI ATAU NASRANI ATAU MAJUSI. "
dan sabdanya lagi (bermaksud) :-
" SEBAHAGIAN DARI KEWAJIPAN ORANG TUA ATAS ANAKNYA, IAITU
MEMBERI NAMA YANG BAIK, MENGAJAR DAN MENGAHWINKANNYA BILA
SUDAH DEWASA. "
jangan sampai orang tua terkena Sabda Nabi S.A.W. (yang bererti):-
" AKAN DATANG SUATU MASA PADA UMAT KU, DIMASA ITU MEREKA LARI
DARI ULAMA DAN FUKAHA, MAHA ALLAH MENURUNKAN UJIAN IAITU
ALLAH MENGHILANGKAN BERKAH DARI HASIL KERJANYA, ALLAH
MENGUSAHAKAN PADA MEREKA PEMIMPIN YANG ZALIM DAN MEREKA
KELUAR DARI DUNIA (mati) TANPA IMAN. "
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home