Friday, September 30, 2005

HADIS AKHIR ZAMAN 27 - UJIAN DAHSYAT TERHADAP IMAN

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda; "BERSEGERALAH KAMU BERAMAL SEBELUM MENEMUI FITNAH (ujian
terhadap iman) SEUMPAMA MALAM YANG SANGAT GELAP. SESEORANG MASIH
BERIMAN DI WAKTU PAGI, KEMUDIAN DI WAKTU PETANG DIA SUDAH MENJADI
KAFIR, ATAU IA MASIH BERIMAN DI WAKTU PETANG, KEMUDIAN PADA ESOK
HARINYA IA SUDAH MENJADI KAFIR. BANYAK ORANG YANG TELAH MENJUAL
AGAMANYA DENGAN SEDIKIT DARI MATA BENDA DUNIA."
- ( Riwayat Muslim )
Keterangan
----------
Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya
ujian terhadap iman seseorang diakhir zaman. Seseorang yang
beriman diwaktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir diwaktu petang.
Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman diwaktu petang,
tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu cepat
dan pantasnya perubahan yang berlaku. Iman yang begitu mahal
boleh gugur didalam godaan satu malam atau satu hari sahaja
sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya
hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia.
Dunia lebih dicintai disisi mereka daripada iman. Dan menurut
riwayat Ibnu Majah, beliau menambah "KECUALI ORANG YANG HATINYA
DIHIDUPKAN OLEH ALLAH SWT DENGAN ILMU."
Dalam keadaan inilah yang sangat dibimbangi oleh Rasulullah saw
yang dinyatakan didalam sabdanya yang bermaksud :-
"DEMI ALLAH AKU TIDAK BIMBANG KAMU MENJADI FAKIR, MENJADI PAPA.
APA YANG AKU BIMBANGKAN SEKIRANYA DIBENTANGKAN KEPADA KAMU DUNIA
YAKNI KESENANGAN DAN KEMEWAHAN SEPERTI YANG DIBENTANGKAN KEPADA
UMAT YANG TERDAHULU. LALU MEREKA MEREBUT-REBUT KEMEWAHAN DUNIA
ITU, MAKA KAMU BEREBUT SEPERTI MEREKA, MAKA KAMU BINASA SEBAGAI-
MANA MEREKA BINASA."
Sesungguhnya apa yang dibimbangi oleh Rasulullah saw itu telah
berlaku dikalangan umat Islam hari ini. Kebanyakan umat Islam
dipengaruhi oleh pengaruh kebendaan untuk mengejar tamadun
kebendaan, sehingga kebanyakannya telah lupa tentang halal dan
haramnya.
Perkara agama dianggap perkara sampingan. Perkara halal dan
haram hanya menjadi perkara serpihan untuk berseronok-seronok
sahaja. Bukan untuk mengabadikan diri kepada Allah swt. Menunai-
kan perintah agama sekadar melepaskan batuk ditangga bukan
menunaikannya dengan cara yang bersungguh-sungguh.
Sekiranya keadaan seperti ini terus menerus berlaku dikalangan
masyarakat Islam, atau merelakan diri mereka dipengaruhi oleh
sifat-sifat seperti ini, maka tunggulah kebinasaan dan kemusnahan
mereka atau pun mereka menjadi punca kepada musnahnya dunia ini.
Apa yang paling membimbangkan ialah sekiranya menjejaskan aqidah,
seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah saw didalam hadis diatas.
Firman Allah swt:-
"KEHIDUPAN DUNIA (dan kemewahannya) DIPERHIASKAN (dan dijadikan
amat indah) PADA (pandangan) ORANG-ORANG KAFIR, SEHINGGA MEREKA
(berlagak sombong dan) MEMANDANG RENDAH KEPADA ORANG-ORANG YANG
BERIMAN. PADA HAL ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (dengan imannya)
LEBIH TINGGI (martabatnya) DARIPADA MEREKA (yang kafir itu) PADA
HARI KIAMAT KELAK. DAN (ingatlah), ALLAH MEMBERI REZEKI KEPADA
SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DENGAN TIDAK TERKIRA (menurut undang
-undang peraturanNya)."
( Al-Baqarah : 212 )
Mudah-mudahan Allah swt menjadikan kita diantara orang-orang yang
berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah swt
akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home