Friday, September 30, 2005

HADIS AKHIR ZAMAN 24 - MASA AKAN MENJADI SINGKAT

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda;
"TIDAK AKAN TERJADI QIAMAT SEHINGGA MASA MENJADI SINGKAT, MAKA
SETAHUN DIRASAKAN SEPERTI SEBULAN DAN SEBULAN DIRASAKAN SEPERTI
SEMINGGU DAN SEMINGGU DIRASAKAN SEPERTI SEHARI DAN SEHARI
DIRASAKAN SEPERTI SATU JAM DAN SATU JAM DIRASAKAN SEPERTI
SATU PETIKAN API."
- ( Riwayat Termizi )
Keterangan
----------
Tidak semua perkara-perkara tanda kecil hari kiamat itu berlaku
disebabkan kesilapan manusia, bahkan ia merupakan fitrah alam
yang bersifat makhluk. Segala kejadian yang diciptakan oleh
Allah s.w.t. adalah bersifat kekurangan. Ia akan menjadi musnah
dan hancur. Manusia yang dijadikan sebagai makhluk yang mulia
akan menemui ajalnya. Demikian juga segala makhluk serta alam
yang ada adalah bersifat sementara. Jadi, segala alam yang ada
ini sedang menuju kepada proses kehancuran dan ia berlaku secara
perlahan-lahan.
Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadis diatas ialah masa
dan waktu semakin singkat. Peredaran masa dapat dirasakan dengan
begitu pantas sekali oleh kebanyakan manusia yang sibuk dengan
urusan duniawi. Detik-detik masa begitu pantas sekali apabila
siang berganti malam, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun
dan seterusnya.
Peredaran masa yang begitu singkat ini memang dapat dirasakan
dengan begitu ketara sekali. Ia mungkin disebabkan kehidupan
manusia semakin lama semakin maju ke hadapan. Manusia
menggunakan berbagai kemudahan dan peralatan yang canggih untuk
mencapai sesuatu dalam kehidupan mereka. Misalnya, menggunakan
kapalterbang (kenderaan bermotor) untuk menuju ke destinasi,
menggunakan telefon atau internet untuk berbual dengan orang yang
jauh dan sebagainya. Berbeza pula dengan zaman silam yang tidak
terdapat banyak kemudahan dan kemajuan, dimana manusia pada waktu
itu berjalan kaki untuk menuju ke destinasinya. Begitu halnya
jika hendak berbicara dengan orang yang jauh terpaksa pergi
menemuinya.
Jadi, peredaran zaman adalah menjadi faktor kepada peredaran masa
yang begitu pantas. Zaman kemajuan yang penuh dengan peralatan
canggih telah mengubah segalanya. Pergerakan manusia juga telah
menjadi semakin pantas kerana mengejar keperluan dan kesenangan
didalam kehidupan. Maka inilah perjalanan dunia dalam menuju
kepada dekat hari kiamat. Sebagaimana tersebut didalam hadis,
dari Abu Hurairah r.a., ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: "TIDAK AKAN DATANG HARI KIAMAT SEHINGGA
ZAMAN SEMAKIN BERDEKATAN (terasa sekejap)."
Kemungkinan juga dimaksudkan peredaran masa menjadi singkat itu
ialah disebabkan hilangnya keberkatan kepada kehidupan manusia.
Didalam kehidupan dunia yang maju ini, kebanyakan manusia lebih
mengambil berat terhadap kesenangan dan keseronokan. Mereka lupa
kepada Allah dan ajaran agama mereka kerana sibuk mencari kekayaan
setiap hari. Keberkatan rezeki telah ditarik oleh Allah s.w.t.,
disebabkan oleh manusia banyak melakukan kemaksiatan dan menjauh-
kan diri dari jalan kebenaran. Keberkatan ini juga berlaku sama
seperti manusia yang hidupnya sentiasa melakukan kebaikan sebagai-
mana disebutkan didalam hadis, dari Anas bin Malik r.a., ia ber-
kata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):-
"BARANGSIAPA YANG MAHU DIPANJANGKAN UMURNYA DAN DITAMBAHKAN
REZEKINYA, HENDAKLAH IA BERBAKTI KEPADA KEDUA IBUBAPANYA
DAN MENGHUBUNGKAN SILATULRAHIM."
- ( Riwayat Ahmad )
Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa
itu ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang
dikatakan Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam
sehari banyak perkara yang boleh kita laksanakan, tetapi sekarang
dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat
kita lakukan. Ini adalah satu petanda hampirnya kiamat.

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home