Friday, September 30, 2005

HADIS AKHIR ZAMAN 23 - PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda; "HARI QIAMAT TIDAK AKAN TERJADI SEHINGGA MELIMPAH RUAH
HARTA BENDA DAN TIMBUL FITNAH (ujian kepada keimanan) DAN BANYAK
BERLAKU "Al-Haraj". Sahabat bertanya, "Apa al-Haraj itu hai
Rasulullah?". Nabi s.a.w. menjawab: "PEPERANGAN DEMI
PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN."
- ( Riwayat Ibnu Majah )
Keterangan
----------
Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaran sabda Junjungan kita
Nabi s.a.w. Harta benda melimpah ruah. Banyak alat-alat moden
yang dihasilkan oleh teknoloji Barat dan Timur sehingga bertambah
banyak alatan dan keperluan hidup.
Malangnya manusia seringkali tidak seimbang dalam mengatur sistem
hidup mereka. Lantaran pengaruh kemajuan benda telah mengatasi
segala-galanya, manusia bagaikan tidak cukup waktu siang untuk
bekerja, kerana dorongan benda mereka sanggup tidak tidur malam.
Mereka rungkai segala sistem hidup yang telah digariskan oleh
Al-Quran, seolah-olah mereka menghendaki waktu siang lebih
panjang dari malam supaya mereka boleh bekerja lebih lama. Alang
-kah baiknya jika manusia mampu berjaga malam untuk persiapan
akhirat mereka.
Dalam Al-Quran Allah swt berfirman:-
"DAN DIALAH TUHAN YANG MENJADIKAN MALAM UNTUK KAMU SEBAGAI
PAKAIAN, DAN MENJADIKAN TIDUR UNTUK BERHENTI REHAT, SERTA
MENJADIKAN SIANG UNTUK KELUAR MENCARI REZEKI."
- ( Al-Furqaan : 47)
Kejadian malam umpama kain yang menyelimuti hari supaya ia
menjadi gelap. Ketika suasana hening dimalam hari memberi
peluang kepada manusia untuk tidur, kerana tidur itu memberi
kerehatan kepada tubuh badan.
Ramai orang yang berlumba lumba untuk mengaut keuntungan dalam
membuat dan memperdagangkan alat-alat yang berbagai-bagai. Dan
oleh kerana masing masing tamak dan rakus maka terjadilah perebu-
tan yang mengakibatkan berlakunya peperangan demi peperangan.
Dari masa kesemasa peperangan berkobar dengan tiada henti-henti-
nya. Padam disatu tempat, menyala pula ditempat yang lain. Satu
sama lain saling cakar mencakar.
Disamping sifat yang tidak bertanggungjawab negara-negara maju,
telah mencetuskan berbagai kerosakan bukan sekadar menyebabkan
hujan asid, bahkan lebih teruk lagi iaitu menyebabkan kemusnahan
ozon diruang angkasa. Akibatnya beberapa tempat diruang angkasa
negara-negara maju ozon telah bocor atau semakin nipis, menyebab-
kan manusia akan terdedah dengan pancaran cahaya matahari yang
berlebihan yang boleh menyebabkan berbagai-bagai penyakit.
Sebagaimana Allah swt telah berfirman :-
"TELAH MUNCUL BERBAGAI KEROSAKAN DAN BALA BENCANA DI DARAT DAN
DI LAUT DENGAN SEBAB APA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH TANGAN
MANUSIA; (timbulnya yang demikian) KERANA ALLAH HENDAK MERASAKAN
MEREKA SEBAHAGIAN DARI BALASAN PERBUATAN-PERBUATAN BURUK YANG
MEREKA TELAH LAKUKAN, SUPAYA MEREKA KEMBALI (insaf dan
bertaubat)."
- ( A-Ruum : 41 )
Semakin maju teknoloji, semakin terseksa manusia kerananya.
Sebenarnya teknoloji tidaklah bercanggah dengan Islam, tetapi
ia mestilah tunduk dibawah etika kemanusiaan yang didukung oleh
Islam itu sendiri. Sedangkan teknoloji yang ditaja oleh dunia
Barat hari ini adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan
mengikut telunjuk hawa nafsu yang rakus sehingga teknoloji itu
digunakan untuk menghancurkan nilai nilai kemanusiaan itu sendiri.
Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini,
sehingga sampai ketitik akhir iaitu "Qiamat".
Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home