PUASA ENAM
Bolehkah berpuasa enam jika puasa Ramadhan
tidak dikerjakan sebulan penuh?
-------------------------------------------
Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan sebanyak enam hari
berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan Syawal.
Para ulama berselisih pendapat mengenai masa mengerjakan puasa
enam ini. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan
secara terus menerus selepas Hari Raya iaitu mulai Hari Raya kedua
dan seterusnya. Sebahagian ulama muta'akhirin pula berpendapat
puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau
berasingan sepanjang bulan Syawal. Akan tetapi mengerjakannya
berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afhdal.
Soalnya sekarang bolehkah seseorang itu berpuasa enam jika puasa
Ramadhannya tidak dikerjakan sebulan penuh ? Sebelum menjawab
persoalan itu, elok diperhatikan dulu anjuran untuk enam itu.
Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam :
Maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian
diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal, itulah puasa
sepanjang masa".
(Hadis riwayat Muslim)
Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh sebuah hadis :
Maksudnya : "Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan
puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan ) dengan dua
bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap
setahun."
(Hadis riwayat ad-Darimi)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal
diibaratkan kita berpuasa sepanjang masa kerana setiap kebajikan
dibalas sepuluh kali ganda. Oleh itu, puasa Ramadhan sebanyak 29
atau 30 hari disamakan dengan 300 hari atau sepuluh bulan puasa,
dan puasa enam disamakan dengan 60 hari atau dua bulan puasa. Jika
dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia
setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun.
Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi
perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahal seperti
pahala yang didapatinya daripada puasa fardhu, jadi pahala
mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan
pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Hukum Puasa Enam
Puasa enam dalam bulan Syawal itu sunat dikerjakan oleh orang yang
telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh. Begitu juga sunat
dikerjakan oleh orang yang tidak dapat mengerjakannya sebulan
penuh disebabkan sesuatu keuzuran syara'. Akan tetapi ganjaran
pahalanya berlainan dengan ganjaran pahalanya berlainan dengan
ganjaran pahala orang yang dapat mengerjakan puasa enam selepas
mengerjakan puasa Ramadhan penuh.
Namun begitu, adalah haram mengerjakan puasa enam bagi orang yang
meninggaalan puasa Ramadhan dengan senghaja, kerana puasa Ramadhan
yang ditinggalkannya itu wajib diqadhanya dengan seberapa segera.
Adapun bagi orang yang mengerjakan puasa qadha pada bulan Syawal,
maka dia mendapat pahala puasa sunat enam. Ini adalah pendapat
yang zahir bagi Imam al-Khatib as-Syarbini.
Pendapat yang lain menyatakann bahawa jika dia mengerjakan puasa
qadha pada bulan Syawal, dia tidak mendapat pahala puasa enam, dan
hendaklah dia mengqadha puasa enam itu pada bulan Zulkaedah jika
bulan Syawal sudah selesai.
Puasa enam bolehlah diumpamakan sebagai sembahyang sunat rawatib
yang kita kerjakan selepas sembahyang fardhu untuk menyempurnakan
kekurangan-kekurangan yang terdapat sewaktu mengerjakan sembahyang
fardhu kerana kekurangan dalam amalan fardhu dapat ditutup atau
ditampal dengan amalan sunat pada hari kiamat.
Oleh itu rebutlah peluang yang ada ini demi menyempurnakan ibadat
puasa Ramadhan yang kita kerjakan disamping kita mengharapkan
ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu
Wata'ala.
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home