Friday, December 02, 2005

BOLEHKAN IBADAH HAJI MEMBINA KEUNGGULAN

Sudah pasti, insya Allah. Terlampau banyak hikmah yang boleh
diambil dari ibadah Haji tetapi cukuplah dengan saya fokuskan
kepada tiga aspek sahaja ;

* Aspek Globalisasi Akidah dan Taqwa.
* Aspek Pengorbanan.
* Aspek Kemuliaan Wanita.

Allah berfirman (bermaksud):

"BERITAHULAH KEPADA MANUSIA UNTUK MENGERJAKAN HAJI DAN MEREKA
PASTI AKAN DATANG DENGAN BERJALAN KAKI DAN DENGAN BERKENDERAAN
DARI NEGERI-NEGERI YANG JAUH." - ( Al-Haj : 27 )

Aspek Globalisasi Akidah dan Taqwa
----------------------------------
Perhimpunan tahunan di Mekah dihadiri oleh umat Islam dari
seluruh dunia. Perpaduan, keselarasan serta pembinaan kekuatan
berasaskan akidah dan taqwa dapat dibina jika perhimpunan ini
benar-benar dimanfaatkan. Perhimpunan ini menunjukkan, agama
Islam bukanlah agama yang diturunkan untuk bangsa dan golongan
tertentu, sebaliknya risalahnya adalah untuk seluruh manusia.
Konsep kesejagatan ini dimanifestasikan melalui ibadah haji yang
menghimpunkan umat Islam dari seluruh pelosok dunia di Mekah.
Kesedaran dan kekuatan yang diperolehi dari perhimpunan ini dapat
dijadikan titik tolak kepada usaha untuk mengglobalisasikan
akidah dan taqwa.

Aspek Pengorbanan
-----------------
Di Mekah, umat Islam diingatkan tentang pengorbanan dan
perjuangan keluarga Nabi Ibrahim A.S didalam usaha untuk menegak-
kan kalimah Allah. Kisah berhubung kesanggupan Nabi Ibrahim A.S.
menyembelih anaknya Ismail A.S. semata-mata untuk menyahut
perintah Allah diulang-ulangi, kerana ia melambangkan manifestasi
iman dan pengorbanan yang amat tinggi yang perlu dicontohi.
Untuk mencapai hasanah didunia dan akhirat, pengorbanan amat
diperlukan.

Aspek Kemuliaan Wanita
----------------------
Bagi wanita Islam pula, mereka diingatkan tentang pengorbanan
Siti Hajar. Beliau sanggup berkorban walaupun ditinggalkan suami
dibumi Mekah bersama-sama dengan anak beliau yang bernama Ismail
A.S., semata-mata untuk mencari keredaan Ilahi. Sikap tidak
mengenal putus asa ketika mencari air untuk diberikan kepada
anak, melambangkan peribadi yang cekal serta bermotivasi tinggi.
Apabila umat Islam melakukan sa'i dari Safa ke Marwah, mereka
sebenarnya sedang diingatkan tentang pengorbanan dan kecekalan
Siti Hajar. Berhubung dengan ini, Imam Ibn Kathir meriwayatkan
pandangan sahabat Abdullah ibn Abbas R.A. ;

"(Amalan Sa'i dari Safa ke Marwah) pada asalnya dikaitkan
dengan kejadian yang berlaku keatas Siti Hajar. Ketika
mencari air untuk anaknya, beliau telah berlari berulang alik
dari Safa ke Marwah dengan hati yang tunduk, khusyuk serta
mengharapkan rahmat Ilahi. Akhirnya Allah menganugerahkan air
zamzam sebagai makanan dan minuman malah sebagai ubatan kepada
beliau."

Hal ini menampakkan tentang kecantikan ajaran Islam yang telah
menaikkan taraf wanitanya, sehingga menjadikan pengorbanan
seorang wanita sebagai simbol yang dikaitkan dengan ibadah haji.
Konsep pengorbanan dan kecekalan Siti Hajar ini perlu dicontohi
dan diglobalisasikan diseluruh dunia.

~~~~~~~~~

Ibadah Haji yang dilaksanakan dengan kefahaman dan roh yang betul
dapat membina keunggulan umat sejagat. Konsep perpaduan dan
kesejagatan yang berasaskan akidah dan taqwa telah menjadikan
umat Islam satu kuasa besar yang menguasai dunia selama lebih
kurang satu alaf sebelum ini. Apabila penjajah datang, umat Islam
dipecahkan dan dipisahkan mengikut sempadan geografi masing-
masing dan mulai saat itu lahirlah semangat kebangsaan sempit
dijiwa umat Islam sehingga mereka terlupa kepada agenda
perjuangan yang lebih besar. Jiwa dan sempadan sempit inilah
yang mereka bawa ke Mekah ketika melaksanakan ibadah Haji hari
ini sekaligus menutup peluang kepada satu lonjakan yang
bersepadu untuk mengglobalisasikan akidah dan taqwa.

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home