BAGAIMANA CEMERLANG DENGAN BERDOA
Dalam surah Al-Mukmin (atau Ghafir) ayat 60 Allah berfirman;
"BERDOALAH KEPADA KU AKAN KU PERKENANKAN PERMINTAAN MU."
Disamping berusaha umat Islam disuruh berdoa kerana kecemerlangan
dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah doa ialah ibu ibadah.
Demikian yang disabdakan Nabi mengikut riwayat Imam Tirmizi.
Doa yang dipohon secara ikhlas akan memberi impak kepada hidup
kita. Berhubung dengan ini, Imam An-Nawawi menukilkan perkataan
Imam al-Ghazali yang berkata, "Doa menjadi sebab bala dijauhkan
dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang
menjadi sebab senjata tidak menembusi badan." Perkara ini
dinukilkan dalam kitab al-Azhar.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi
bersabda, "MINTALAH KEPADA ALLAH KURNIAANNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH
MENYUKAI PERMOHONAN (DARI HAMBANYA)."
Adab-Adab Berdoa
~~~~~~~~~~~~~~~~
Doa yang diterima oleh Allah ialah doa yang datang dari hati yang
khusyuk. Ketika berdoa beberapa adab perlu dijaga agar doa
itu diberkati dan dimakbulkan Allah. Antara adab-adab itu ialah:-
1. MEMILIH WAKTU YANG MULIA. Antara waktu-waktu istimewa yang
baik untuk berdoa, berpandukan hadis-hadis Nabi, ialah
di bulan Ramadan, pada hari Jumaat, pada hari Arafah, waktu
sahur, ketika sedang berjihad, waktu hujan turun, selepas
melaksanakan solat-solat fardu, antara azan dan iqamat, ketika
sedang berpuasa dan ketika sedang sujud dalam solat.
2. MERENDAHKAN DIRI kepada Allah dan khusyuk. Dalam surah
Al-A'raf ayat 55 Allah berfirman, "BERDOALAH KEPADA TUHAN MU
DENGAN RENDAH HATI DAN TAKUT." Dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi bersabda, "BERDOALAH
KEPADA ALLAH DENGAN KEYAKINAN BAHAWA ALLAH AKAN MENGABULKAN
PERMINTAAN MU. INGATLAH, ALLAH TIDAK MEMPERKENANKAN DOA YANG
DATANG DARIPADA HATI YANG LALAI."
3. BERTAUBAT daripada dosa dan mengembalikan semula hak mereka
yang telah dizalimi. Dosa yang dilakukan akan menjadi benteng
yang menghalang penerimaan doa oleh Allah. Hal ini disebutkan
dalam Al-Azhar oleh Imam An-Nawawi. Allah berfirman dalam
surah At-Tahrim ayat 8, "WAHAI MEREKA YANG BERIMAN BERTAUBAT-
LAH KEPADA ALLAH DENGAN TAUBAT NASUHA (IAITU TAUBAT YANG
SEBENARNYA)."
4. MEYAKINI bahawa doa itu akan diterima. Maksudnya, hendaklah
kita berfikiran positif ketika berdoa. Dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi bersabda, "BERDOA-
LAH KEPADA ALLAH DENGAN KAMU MEYAKINI BAHAWA IA AKAN
DITERIMA."
5. TIDAK TERGESA-GESA. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan,
Nabi bersabda, "DOA SEORANG KAMU AKAN DIPERKENANKAN SELAGI
MANA DIA TIDAK BERSIKAP TERGESA-GESA DENGAN BERKATA, AKU
TELAH PUN BERDOA TETAPI TIDAK DIPERKENANKAN."
Mereka yang tergesa-gesa bersikap seolah-olahnya mengetahui
apa yan terbaik untuk diri mereka. Sepatutnya mereka berserah
diri kepada Allah kerana Allah saja yang mengetahui apa yang
terbaik untuk diri mereka.
Berhubung dengan ini Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi
yang bermaksud, "TIDAK BERDOA SESEORANG HAMBA DI BUMI INI
MELAINKAN IANYA AKAN DIPERKENANKAN ALLAH, ATAU DIPALINGKAN
ALLAH SATU KEBURUKAN DARIPADANYA SETIMPAL DENGAN APA YANG
DIPOHONNYA, SELAMA MANA DIA TIDAK MEMINTA PERKARA YANG
BERDOSA ATAU MEMINTA UNTUK MEMUTUSKAN TALI PERSAUDARAAN."
6. Hendaklah dimulakan sesuatu doa dengan memuji Allah dan
berselawat ke atas nabi. Demikian juga adabnya ketika
mengakhiri doa itu. Hal ini disebutkan di dalam Al-Azhar
oleh Imam An-Nawawi dan Ihya Ulumuddin oleh Al-Ghazali
berdasarkan beberapa hadis nabi.
7. Disunatkan mengulang-ulangi sesuatu doa untuk menampakkan
kesungguhan. Hal ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud melalui
sahabat Abdullah ibn Masud yang berkata, "SESUNGGUHNYA
RASULULLAH AMAT GEMAR MENGULANG-ULANGI DOA DAN ISTIGHFAR
TIGA-TIGA KALI."
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home