Wednesday, September 14, 2005

ADAB-ADAB MENJADI AHLI KORPORAT / BISNES YANG CEMERLANG

Sahabat Abdul Rahman bin Auf juga merupakan seorang yang kaya
raya. Ibn Saad dalam Kitab At-Tabaqat meriwayatkan, "ketika
Abdul Rahman bin Auf meninggal dunia, salah seorang isterinya
memperoleh harta pusaka sebanyak 80,000 dinar emas." Sebelum
beliau meninggal dunia beliau mewasiatkan agar didermakan 50,000
dinar emas dari hartanya untuk perjuangan Islam, dan untuk mereka
yang pernah menyertai perang badar, beliau dermakan 400 dinar
emas bagi setiap orang.

ADAB-ADAB BISNES
~~~~~~~~~~~~~~~~

Imam Al-Ghazali, dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' bab 'Adab Berusaha
dan Mencari Kehidupan', ketika membicarakan tentang perniagaan,
menetapkan, seseorang peniaga atau ahli bisnes hanya dikira
sebagai seorang yang mementingkan agama serta syariat dalam
bisnesnya jika dia memelihara tujuh (7) perkara iaitu ;

1. Membaikkan niat serta akidah di peringkat awal perniagaan.
Seseorang peniaga hendaklah berniat, penglibatannya dalam
bidang perniagaan adalah untuk memelihara dirinya dari
meminta-minta serta untuk membantunya melaksanakan tuntutan
agama. Dia juga perlu berniat, penglibatannya adalah untuk
menunaikan segala keperluan keluarga. Di samping itu dia
perlu berniat untuk menegakkan keadilan dan berlaku ihsan
dalam muamalatnya serta menyuruh manusia kepada makruf dan
mencegah kemungkaran.

2. Memastikan tujuannya berusaha ialah untuk menegakkan salah
satu dari tuntutan fardu kifayah. Jika mampu, dia hendaklah
menjauhi bidang perniagaan yang memfokuskan kepada pembuatan
barang-barang perhiasan duniawi yang tidak menguntungkan
agama. Dia wajib menjauhi perniagaan barangan yang diharamkan
agama, sebagai contoh, pakaian sutera bagi lelaki, cincin
emas bagi lelaki dan yang seumpamanya. Antara bidang
perniagaan yang disukai oleh ulama salaf ialah, berniaga,
membawa barangan, menjahit, mencelup kain, membuat kasut,
bertukang besi, bertenun kain, berburu binatang, menangkap
ikan dan membuat kertas.

3. Memastikan agar aktiviti duniawinya tidak menjadi penghalang
kepada aktiviti akhiratnya. Hal ini diingatkan Allah dalam
Surah An-Nur ayat 37 yang bermaksud; "Lelaki-lelaki yang
tidak dilalaikan perniagaan dan jual belinya dari mengingati
Allah, menegakkan solat dan membayar zakat." Omar Al-Khattab
pernah berpesan kepada saudagar dengan berkata; "Jadikanlah
awal siang mu untuk akhirat mu dan sesudahnya itu untuk
dunia mu." Orang-orang salih terdahulu menjadikan permulaan
serta penghabisan masa siang mereka untuk aktiviti akhirat
dengan melaksanakan ibadah-ibadah yang khusus, dan menjadikan
pertengahan waktu siang mereka untuk aktiviti perniagaan.
Ulama salaf terdahulu apabila mendengar laungan azan terus
meninggalkan kedai-kedai mereka untuk melaksanakan solat.
Ketika itu kedai-kedai itu diurus oleh kanak-kanak dan orang-
orang zimmi.

4. Memastikan agar zikir kepada Allah tidak dilupakan ditempat
kerja. Imam Al-Hasan pernah berkata, "Orang-orang yang
berzikir kepada Allah di pasar-pasar akan datang kepada Allah
pada hari kiamat dalam keadaan bercahaya." Mereka sebenarnya
sedang mengamalkan hadis nabi yang bermaksud, "Bertakwalah
kamu kepada Allah di mana saja kamu berada." Hadis ini ialah
sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi.

5. Memastikan agar diri tidak tenggelam dalam perniagaan.
Abdullah ibn Amr ibn As pernah berkata, "Janganlah kamu
menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan orang yang
terakhir keluar daripadanya." (Dalam bahasa hari ini ia
bermaksud, janganlah menjadi 'workaholic' atau orang yang
gila kerjaya sehingga melupakan tanggungjawab yang lain).

6. Memastikan agar dia tidak menjauhi perkara-perkara yang haram
sahaja. Dia juga hendaklah berhati-hati dari perkara yang
syubhah dan yang meragukan. Jika keadaan sesuatu barangan
meragukan, dia hendaklah memastikan hakikat keadaan barangan
itu terlebih dahulu agar dia terpelihara dari perkara yang
syubhah. Walau bagaimanapun dalam hal ini, pemeriksaan yang
terlalu terperinci tidaklah dituntut oleh agama. Hal ini
disebabkan nabi sendiri jika ingin mengetahui tentang hakikat
sesuatu barangan secara terperinci, baginda hanya bertanya
tentang asal usul barangan itu dan tidak menyelidiki lebih
dari itu, dan ini pun tidak baginda lakukan bagi setiap
benda. Perkara ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Jabir.

7. Memastikan agar dia sentiasa mengawasi diri sendiri daripada
mengawasi orang lain. Hendaklah dia menghitung amalan diri-
nya, menyelidiki niatnya serta menghalusi setiap perbuatan
dan perkataannya.


- TIP KECEMERLANGAN DARI AL-QURAN
Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd

Ref: PMIM/TU/77/JUN05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home