Wednesday, September 14, 2005

MINTALAH FATWA KEPADA HATI

Daripada Qabisat bin Ma'bad R.A katanya ;

"Aku datang kepada Rasulullah S.A.W. bertanya kebaikan, Baginda
berkata; Mintalah fatwa dari hati engkau. Kebaikan itu ialah
apa yang mententeramkan hati engkau. Dan dosa itu ialah apa
yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada, sekali pun telah
berfatwa oleh manusia kepada engkau."
- ( Riwayat Ahmad dan Al-Darimi )

Tanda-tanda kebaikan atau perbuatan dosa dapat diketahui dari
gerakan hati. Mintalah fatwa dari hati tentang perkara yang tidak
terang hukumnya atau dalam perkara syubhat yang masih ragu-ragu
halal haramnya. Hati seseorang yang beriman dalam menghadapi
perkara yang seperti ini menurut kebiasaannya adalah merasa puas
dan tenteram kiranya perkara itu baik, tidak ada dosa. Sebalik-
nya ia ragu atau gelisah jika perkara itu tidak baik atau
mengandungi dosa atau pun yang masih samar-samar hukumnya,
sebagaimana kata Ibn Mas'ud ; "Dosa itu menggoncangkan hati."
Jadi hati adalah pedoman atau pengukur bagi menentukan suatu
perkara yang dihadapi seseorang, kerana dari isyarat atau
petunjuknya dapat dijadikan pegangan yang kukuh.

Dalam sebuah hadith juga dijelaskan ketika Abu Tha'labah al-
Khasyani meminta kepada Rasulullah S.A.W. supaya diterangkan
kepadanya apakah yang halal dan yang haram baginya ? Rasulullah
S.A.W. menjelaskan kepadanya dengan menyatakan ;

" Kebaikan (yang halal) itu ialah suatu yang tetap oleh diri
dan tenang oleh jiwa dalam menghadapinya, dan dosa itu ialah
suatu yang tidak tetap oleh diri dan tidak tenang oleh hati,
sekali pun orang telah berfatwa kepada engkau."
- ( Riwayat Ahmad )

Ketika Wailah bin Al-Asqa berkata kepada Rasulullah S.A.W ;

" Berilah kepada ku satu fatwa tentang suatu perkara sehingga
atau tiada lagi bertanya kepada seseorang sesudah engkau "
Maka Rasulullah berkata kepadanya ; "Mintalah fatwa diri
engkau sendiri" kata ku ; bagaimana yang demikian ? Rasulullah
menjawab ; "Engkau tinggalkan apa yang meragukan engkau kepada
apa yang tidak meragukan engkau, sekalipun telah difatwakan
oleh manusia kepada engkau." Kata ku lagi ; "Bagaimanakah yang
demikian ?" jawab Nabi ; "Letakkan tangan engkau ke atas hati
engkau (bagaimana perasaannya). Kerana hati akan tenang kepada
perkara yang halal dan tidak tenang kepada perkara yang haram."

Demikianlah keadaan hati atau jiwa seseorang dalam menentukan
sesuatu perkara yang diragu-ragukan atau dalam masaalah yang
tidak diketahui hukumnya.

Ada pun perkara yang terang dan jelas hukumnya berdasarkan dalil
syara', maka tidaklah lagi diminta berfatwa dengan hati. Tetapi
hati itu mestilah patuh kepada hukum yang telah ditetapkan
nasnya sama ada hatinya merasa tenang atau tidak. Misalnya
syara' membenarkan seseorang tidak berpuasa ketika dalam
perjalanan atau dalam kesakitan, dan ia boleh mengqasarkan
sembahyang sekali pun ia tidak tenang hati dengan hukum itu.

Pendek kata, hendaklah mematuhi hukum yang ada nasnya walau pun
hati menolak. Kerana tiada jalan lain bagi seorang yang beriman
kecuali mematuhi Allah dan Rasulnya sebagaimana firman Allah SWT;

"DAN TIDAK LAYAK BAGI ORANG YANG BERIMAN LELAKI DAN PEREMPUAN
APABILA ALLAH DAN RASULNYA MEMUTUSKAN (SESUATU HUKUM) ADA LAGI
BAGI MEREKA (HAK) MEMILIH DARI URUSAN MEREKA."
- ( Al-Ahzab : Ayat 36 )

Inilah perintah Allah dalam perkara yang telah dinaskan iaitu
yang telah ada nas menetapkan hukumnya. Ada pun perkara yang
meragukan hati, yang tiada nasnya dari Allah dan Rasul dan tiada
pula dari sahabat-sahabatnya serta tidak didapati fatwa dari
ulama' serta dalil syara', maka itu hendaklah ia menurut apa
yang terasa dalam hatinya dan disinilah ia menentukannya.

Hati seseorang adalah petunjuk kepada suatu pekerjaan yang akan
dilakukannya. Oleh itu ia sudah mengetahui getaran perasaannya
atau hatinya atau jiwanya sebelum dikerjakannya. Kalau dirasa-
kan tenteram, kerjakanlah, kalau sebaliknya tinggalkanlah.

Menurut riwayat dalam kitab sejarah Al-Arba'in al-Nawawiyyah,
bahawa Nabi Adam berwasiat kepada anak-anaknya dengan beberapa
wasiat. Diantaranya ;

1. Jika kamu hendak berbuat sesuatu, tetapi hati kamu gelisah
kerananya, maka janganlah kamu perbuat. Kerana aku sewaktu
akan memakan buah kayu, hati ku telah bergoncang dan gelisah.

2. Jika kamu hendak mengerjakan sesuatu, lihatlah kesudahannya.
Kerana kalau aku lihat atau fikirkan tentang akibatnya
daripada memakan buah tersebut, tentu tidak aku makan.

3. Jika kamu hendak melakukan sesuatu perkara, maka berundinglah
dengan orang-orang tertentu. Kerana kalau aku dahulunya
berunding dengan malaikat, tentu diberitahu kepada ku supaya
jangan memakan buah yang terlarang itu.


Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home