Wednesday, September 14, 2005

ILMU MEMUDAHKAN JALAN KE SYURGA

Maksud Hadith ;

" dan barangsiapa berjalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah
akan memudahkannya jalan ke syurga. Dan tidak berhimpun satu
kaum dalam satu rumah dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk
membaca kitab Allah dan mempelajarinya diantara mereka
melainkan diturunkan keatas perhimpunan mereka itu ketenangan
dan diliputi mereka itu oleh rahmat dan dilingkungi mereka itu
oleh malaikat, dan Allah menyebut mereka kepada orang yang
berada disisiNya. "
- ( Riwayat Muslim )

Menuntut ilmu itu adalah dengan menuju atau mengembara ke tempat
dimana sumber ilmu itu berada, kerana ilmu bukannya datang kepada
seseorang. Kerana dengan menuntut ilmu memudahkan jalan kesyurga
- iaitu ilmu yang bermanfaat yang diamalkan secara ikhlas dan
bermanfaat kepada orang lain.

Ilmu itu dibahagi kepada dua bahagian ; Pertama ilmu dihati dan
Kedua ilmu dilidah.

Ilmu dihati ialah ilmu yang berhubung dengan ma'rifat Allah,
mengenali Allah dengan segala nama dan sifatnya yang suci, yang
mempengaruhi segala fikiran dan perasaan untuk menambah dan
menguatkan keyakinan lebih mendalam, rasa cinta dan patuh kepada-
Nya. Ilmu ini membangkitkan jiwa seseorang untuk membuktikan
daya cipta dan usaha dalam bidang amal soleh. Inilah yang dikata-
kan ilmu yang bermanfaat yang akan dibawa mati.

Ilmu dilidah ; ilmu ini dipelajari tidak sampai kelubuk hati,
hanya untuk membuktikan kepandaian lidah dan tidak pula difahami
hakikatnya serta tidak diamal dengan sepenuhnya.

Dengan itu jelaslah bahawa ilmu yang akan memudahkan jalan
ke syurga ialah ilmu yang bermanfaat dan diamalkan dengan maksud
yang suci, bukan dengan maksud menghasilkan faedah hidup
keduniaan semata-mata.

Setelah Rasulullah S.A.W. menyebut perkara menuntut ilmu, maka
disebutkan pula perihal mereka yang berkumpul untuk membaca
Al-Quran dan mempelajarinya. Membaca Al-Quran adalah zikir yang
paling utama, sedang mendengar bacaannya dengan penuh perhatian
dan adab sopan adalah amal yang sangat dimuliakan. Berhimpun
membaca dan mempelajari Al-Quran akan memperoleh empat keutamaan:-

1. Diturunkan keatas mereka ketenangan atau ketenangan jiwa.
2. Mereka diliputi rahmat.
3. Mereka dilingkungi malaikat.
4. Mereka mendapat perhatian atau pujian dari Allah S.W.T.

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home