Wednesday, September 14, 2005

CEMERLANG DENGAN AL-BAQIAH AS-SOLIHAT

Dalam surah Al-Haj ayat 46 Allah berfirman ;

" HARTA BENDA DAN ANAK PINAK ADALAH PERHIASAN KEHIDUPAN
DI DUNIA. AL-BAQIAH AS-SOLIHAT ADALAH LEBIH BAIK GANJARANNYA
DI SISI TUHAN MU DAN LEBIH BAIK UNTUK DIJADIKAN HARAPAN. "

Dalam Al-Quran dan Terjemahannya terbitan Mujamma' Al-Malik Fahd
Li Thiba'at Al-Mushaf, Al-Baqiah As-Solihat diterjemahkan
sebagai "AMALAN-AMALAN YANG KEKAL LAGI SALIH." Al-Baqiah
As-Solihat mengikut tafsiran Abdullah ibn Abbas dan Said bin
Jubair ialah solat yang lima. Mengikut satu riwayat yang lain
dari Abdullah ibn Abbas, ia ialah kalimat yang baik. Mengikut
Said bin Musayyib ia ialah Subhanallah, Walhamdulillah,
Lailahaillallah, Allahuakbar dan lahaulawalaquwwataillabillah.
Pendapat yang agak merangkumi lagi baik ialah dari Abdul Rahman
bin Zaid bin Aslam. Beliau berpandangan Al-Baqiah As-Solihat
ialah kesemua amalan yang salih. Imam Ibn Jarir cenderung
dengan pendapat ini.

Mereka yang sentiasa melakukan Al-Baqiah As-Solihat, sebenarnya
sedang melatih minda, roh dan jasad untuk tunduk kepada kebaikan.
Mereka yang seperti ini mudah mencapai kejayaan dalam setiap
bidang yang mereka ceburi.

Ibadah yang Lebih Utama
-----------------------

Ibadah yang paling penting yang sering diabaikan ialah
meninggalkan yang haram terutamanya yang berkaitan dengan sumber
rezeki, makan dan minum. Didalam Ihya Ulumuddin, diriwayatkan
peringatan yang pernah dibuat oleh Ummul Mukminin, Aisyah, yang
berkata, "KAMU MELUPAKAN SATU IBADAH YANG UTAMA IAITU WARAK."
Warak bermaksud, tidak mengambil sesuatu yang mempunyai unsur
syubhah atau pun haram.

Pengambilan benda yang syubhah atau pun haram akan merosakkan
ibadah. Sahabat Abdullah ibn Omar berkata, "JIKA KAMU MENGERJAKAN
SOLAT SEPERTI BUSUR YANG MELENGKUNG, DAN KAMU BERPUASA SEHINGGA
MENJADI KURUS SEPERTI ANAK PANAH, AMALAN KAMU TIDAK AKAN DITERIMA
MELAINKAN JIKA DISERTAKAN DENGAN WARAK YANG MENDINDING."

Imam Sufyan At-Thauri juga mengingatkan umat Islam tentang
perkara yang sama. Beliau berkata: "SESIAPA YANG MEMBELANJAKAN
SESUATU YANG HARAM, DIA DIUMPAMAKAN SEPERTI SEORANG YANG CUBA
MEMBERSIHKAN SEHELAI KAIN BERLUMURAN NAJIS DENGAN AIR KENCING...
DOSA TIDAK DAPAT DIBERSIHKAN MELAINKAN DENGAN YANG HALAL."

Ibadah dan warak berkait rapat dengan tahap iman seseorang.
Sahl At-Tusturi berkata ;

"SESEORANG TIDAK AKAN SAMPAI KE HAKIKAT IMAN SEHINGGA ADA
PADANYA EMPAT PERKARA, IAITU, MENGERJAKAN IBADAH YANG
FARDU DAN YANG SUNAT, MEMAKAN BENDA YANG HALAL DENGAN WARAK,
MENJAUHI PERKARA YANG DILARANG SAMA ADA ZAHIR ATAU BATIN
DAN BERSABAR DI ATAS YANG DEMIKIAN ITU SEHINGGA MATI."

Wasalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home