HADIS AKHIR ZAMAN 9 - BAHAYA KEMEWAHAN
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.; "Bahawasanya kami sedang duduk
bersama Rasulullah saw didalam masjid. Tiba tiba datang Mus'ab
bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai
selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw
melihat kepadanya beliau menangis dan menitiskan air mata. Nabi
saw menangis mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada
di Mekkah dahulu kerana sangat dimanjakan oleh ibunya dan kerana
memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai
seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda
dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda,
"BAGAIMANAKAH KEADAAN KAMU PADA SATU SAAT NANTI, PERGI DI WAKTU
PAGI DENGAN SATU PAKAIAN, DAN PERGI DI WAKTU PETANG DENGAN
PAKAIAN YANG LAIN PULA. DAN BILA DIANGKATKAN SATU HIDANGAN
DILETAKKAN PULA SATU HIDANGAN YANG LAIN. DAN KAMU MENUTUPI
(MENGHIAS) RUMAH KAMU SEPERTI MANA KAMU MEMASANG KELAMBU KAABAH?"
Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya diwaktu itu kami
lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan
kepada masaalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki".
Maka Nabi saw berkata, "SESUNGGUHNYA KEADAAN KAMU DI HARI INI
ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA KEADAAN KAMU DI HARI ITU."
( Riwayat Tirmizi )
Keterangan
----------
Nabi saw menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan
mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pakaian silih
berganti, makanan tak putus putus, rumah tersergam dihias dengan
bermacam perhiasan. Keadaan demikian menyenangkan untuk membuat
ibadat. Tetapi Nabi saw mengatakan keadaan serba kekurangan itu
lebih baik untuk kita, ertinya lebih memungkinkan kita untuk
beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat
kepada Allah swt kerana kekayaan dan kemewahan yang ada selalu
menyibukkan kita, sibuk menghimpun harta dan sibuk pula menjaga-
nya. Sabda Nabi saw "Seandainya seorang anak Adam itu telah
mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang
yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan kedalam tanah (kematian)."
Begitulah gambaran haloba manusia. Ketika menemui kematian, tidak
berguna lagi penyesalan. Oleh itu janganlah lupa daratan ketika
mencari kekayaan sehingga tidak kira halal dan haram, lupa waktu
sembahyang. Carilah kekayaan dengan batas batas keperluan. Jika
berlebihan bolehlah menolong orang lain yang kurang bernasib baik,
menderma atau bersedekah sebagai simpanan untuk hari qiamat kelak.
Orang yang bijak ialah orang yang mempunyai perhitungan untuk
masa akhiratnya.Menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat
tempat memetik buahnya.
Mudah-mudahan kita diberi taufik dan hidayah oleh Allah swt.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home