Wednesday, September 14, 2005

12 BARISAN UMAT MUHAMMAD DI PADANG MAHSYAR

Didalam dunia ini manusia-manusia hidup berkelas-kelas dengan
berbagai peringkat. Ada kelas atasan, hidup mewah. Ada golongan
sederhana dan ada golongan bawahan, hidup susah dan miskin.

Begitu juga gambaran manusia di akhirat. Bukan semua sama taraf-
nya. Ada yang senang dan gembira dan tidak sedikit juga yang
susah dan terseksa. Semua ini bergantung kepada amalan di dunia.

Di Padang Mahsyar nanti umat Muhammad S.A.W. akan dibangkitkan
dalam 12 golongan. Dan keadaan ini diceritakan oleh Rasulullah
S.A.W. kepada Muaz bin Jabal yang bererti : "Hai Muaz, engkau
telah bertanya kepada ku demi perkara besar. Umat ku yang
dibangkitkan dari kuburnya menjadi 12 barisan."

Barisan Pertama
~~~~~~~~~~~~~~~
Mereka dibangkitkan dari kubur dalam keadaan tidak bertangan dan
berkaki. Mereka, semasa hidupnya telah menyakiti hati jiran
tetangganya.

Barisan Kedua
~~~~~~~~~~~~~
Mereka bangkit dengan muka berbentuk hitam. Ini balasan bagi
mereka yang meremehkan sembahyang, lalai dalam sembahyang,
melewatkannya dan tidak bersungguh menghayati sembahyang. Mereka
berbuat dosa, mendedahkan aurat, mengumpat, hasad dengki dan
melakukan kemungkaran. Firman Allah yang bermaksud ; "NERAKA
WAIL BAGI MEREKA YANG SEMBAHYANG, IAITU MEREKA LALAI DALAM
SEMBAHYANG." - ( Al-Maa'un : Ayat 6 dan 7 )

Barisan Ketiga
~~~~~~~~~~~~~~
Perutnya seperti gunung, penuh dengan ular dan kala jengking
seperti bahgal atau kaldai. Itulah balasan mereka yang enggan
mengeluarkan zakat. Menyimpan banyak wang dan harta tetapi
kedekut untuk mengeluarkan hak Allah.

Barisan Keempat
~~~~~~~~~~~~~~~
Mulut mereka mengalir darah kerana berdusta dalam jual beli.
Mengambil untung dengan menipu orang lain.

Barisan Kelima
~~~~~~~~~~~~~~
Dibangkitkan dalam keadaan baunya yang lebih busuk dari bangkai.
Mereka menyembunyikan kedurhakaan daripada manusia dan tidak
takut kepada Allah. Baik didepan tetapi jahat dibelakang. Malu
dan takut kepada manusia tetapi tidak pada Tuhan. Firman Allah
yang bermaksud ; "MEREKA BERSEMBUNYI DARIPADA MANUSIA TETAPI
MEREKA TIDAK BOLEH BERSEMBUNYI DARIPADA ALLAH."

Barisan Keenam
~~~~~~~~~~~~~~
Tengkorak dan tengkuk mereka terputus. Mereka ini menjadi saksi
palsu semasa hidupnya; mengada-ngadakan cerita yang tidak berlaku
hingga menyebabkan orang lain terhukum.

Barisan Ketujuh
~~~~~~~~~~~~~~~
Bangun dalam keadaan tidak berlidah dan dari mulut keluar nanah
dan darah sebab semasa hidupnya mereka enggan menjadi saksi
sedangkan mereka menyaksikan sesuatu dengan nyata sesuatu
kemungkaran. Firman Allah yang bermaksud; "DAN JANGAN KAMU
SEKELIAN MENYEMBUNYIKAN KESAKSIAN DAN BARANGSIAPA YANG MENYEMBU-
NYIKANNYA, IA ADALAH ORANG BERDOSA." - ( Al-Baqarah : Ayat 283 )

Barisan Kelapan
~~~~~~~~~~~~~~~
Bangkit dalam keadaan terbalik iaitu kaki keatas dan kepala
kebawah dan bau yang sangat busuk. Itu balasan bagi yang berzina
atau melacurkan diri.

Barisan Kesembilan
~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bangkit dari kubur dengan wajah hitam, mata dan perut penuh
dengan api. Mereka semasa didunia memakan harta anak yatim
dengan cara aniaya.

Barisan Kesepuluh
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bangkit dengan tubuh mereka penuh dengan penyakit kusta dan
(kulit putih gatal-gatal). Mereka ialah orang yang durhaka
kepada kedua ibu bapa.

Barisan Kesebelas
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bangkit dalam keadaan buta mata dan hati. Giginya seperti tanduk
lembu jantan, bibir melebar hingga ke dada dan lidah menjulur
hingga ke paha. Perut mereka keluar kotoran. Inilah balasan
orang yang minum arak.

Barisan Kedua Belas
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bangkit dalam keadaan berseri-seri laksana bulan penuh purnama.
Melalui titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar. "YA"
barisan ini berbeza dari yang lain lain. Mereka adalah orang
yang beramal soleh lagi berbuat baik. Menjauhi neraka, memelihara
sembahyang lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat. Balasan
mereka ialah syurga, kasih sayang dan keredhaan Allah.

Begitulah dahsyatnya keadaan manusia di Padang Mahsyar. Dalam
begitu ramai manusia, amat sedikit yang berada dalam kesenangan
dan mendapat nikmat. Kebanyakan mereka menderita. Oleh itu
sentiasalah berdoa semoga kita termasuk barisan yang selamat.
Rasulullah S.A.W. sendiri selalu berdoa memohon perlindungan
Allah dari segala penderitaan dihari kebangkitan itu;

"YA ALLAH, HIDUPKAN KAMI DI DUNIA SEBAGAI ORANG YANG BERIMAN
YANG TAAT. MATIKAN KAMI SEBAGAI ORANG ISLAM YANG TAUBAT.
JADIKAN KAMI TERMASUK GOLONGAN ORANG YANG MENERIMA KITABNYA
DENGAN TANGAN KANAN. JADIKANLAH KAMI DIHARI KEGEMPARAN YANG
DAHSYAT ITU ORANG-ORANG YANG AMAN. HIBURKAN KAMI DENGAN
MELIHAT WAJAH MU YANG MULIA, DENGAN RAHMAT MU TUHAN YANG
MAHA PENGASIH LAGI AMAT PENYAYANG. AMIN YA RABBAL 'ALAMIINN."

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home