Wednesday, September 14, 2005

CEMERLANG JIKA MAMPU MENGAWAL EMOSI MARAH

Ramai orang menjadi hamba kepada emosi mereka. Dalam surah
Ali-Imran ayat 134, Allah memuji orang-orang yang bertakwa dan
antara sifat yang mereka miliki ialah ;

" MEREKA MENAFKAHKAN HARTA BENDA MEREKA KETIKA SENANG ATAU
PUN SUSAH, MEREKA JUGA MAMPU MENGAWAL PERASAAN MARAH DAN
MEREKA JUGA SUKA MEMAAFKAN KESALAHAN ORANG LAIN. "

Siapakah manusia yang gagah ? Berhubung dengan ini Nabi bersabda;

" MANUSIA YANG GAGAH BUKANLAH DIA YANG MAMPU MENJATUHKAN LAWANNYA.
SEBALIKNYA YANG GAGAH IALAH DIA YANG MAMPU MENGAWAL PERASAAN
MARAHNYA. "

Mereka yang mampu mengawal perasaan marah melambangkan peribadi
yang mampu mengawal diri mereka sendiri. Orang yang mampu
mengawal diri sendiri untuk tunduk kepada Allah sedang berjalan
menuju ke syurga. Sahabat Nabi yang bernama Abu Dardak pernah
menyoal Nabi, " Ya Rasulullah, tunjukkan kepada ku satu amalan
yang akan membawa aku ke syurga." Nabi menjawab, "JANGANLAH
ENGKAU MARAH !". Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Thabrani
dan Ibn Abid Dunya dengan sanad yang baik.

Fisiologi Kemarahan
-------------------

Apa yang sedang berlaku didalam diri anda ketika anda sedang
marah ?

Mengikut artikel 'Anger is Hostile To Your Heart' yang dimuatkan
didalam majalah 'Harvard Gazette', perasaan marah memberi kesan
yang negatif kepada jantung. Mengikut Profesor Ichiro Kawachi
dan rakan-rakannya, orang-orang tua yang sering marah-marah
mempunyai risiko tiga kali ganda menghidap sakit jantung
berbanding rakan-rakan mereka yang lain. Para pengkaji
berpendapat, pengeluaran hormon 'stres', peningkatan keperluan
jantung kepada oksigen dan kecenderungan darah (khususnya darah
platelet) untuk membeku menyebabkan peningkatan risiko ini.

Para saintis dari Universiti John Hopkins di Baltimore, Maryland,
pula mendapati lelaki yang panas baran lebih mudah diserang sakit
jantung walau pun mereka datang dari keluarga yang tidak pernah
menghidap penyakit ini. Mark Henderson menyatakan hal ini
didalam artikel 'Anger Raises Risk of Heart Attack' yang
dimuatkan didalam The Times, London, bertarikh 24 April 2002.

Mengikut jurnal 'Phychomatic Medicine', perasaan marah boleh
merangsang pengeluaran protein tertentu yang dikenali sebagai
'inflammatory proteins'. Protein ini menyebabkan pembuluh darah
(arteri) menjadi keras dan proses ini boleh menyebabkan kejadian
strok dan sakit jantung berlaku. Hal ini disebutkan didalam
artikel 'Anger Trigger To Heart Disease Found' oleh Peter Lavelle
di ABC Science Online bertarikh 5 Ogos 2003.

Mengikut Profesor Madya Edward Suarez dari Pusat Perubatan
Universiti Duke di North Carolina, protein 'interleukin' (IL-6)
didapati lebih tinggi dikalangan lelaki yang menghidap kesugulan
dan panas baran. Kadar interleukin yang tinggi memudahkan lemak-
lemak asid berkumpul didalam pembuluh-pembuluh darah. Proses ini
menyebabkan arteriosklerosis berlaku disusuli dengan sakit
jantung. Peter Lavelle juga menyebutkan perkara ini didalam
artikel Anger Trigger To Heart Disease Found didalam ABC Science
Online bertarikh 5 Ogos 2003.

Justeru untuk mencapai kecemerlangan di dalam kehidupan, perasaan
marah perlu dibendung dan di kawal agar diri anda tidak terbabas
dari landasan kebenaran dan kebaikan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home