MENSYUKURI NIKMAT
Sebenarnya golongan yang berjaya ialah golongan yang tidak
melupakan peringatan Allah. Allah berfirman dalam Surah Taha
ayat 124 yang bermaksud; "SESIAPA YANG BERPALING DARI PERINGATAN
KU, MAKA SESUNGGUHNYA BAGINYA KEHIDUPAN YANG SEMPIT DAN KAMI AKAN
MENGHIMPUNNYA PADA HARI KIAMAT DALAM KEADAAN BUTA." Berhubung
dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, "Setiap
orang yang menerima nikmat daripada Allah, banyak atau sedikitnya,
hendaklah diterimanya dengan rasa takwa. Jika tidak dia tidak
akan mengecap kebahagiaan dalam hidupnya dan akhirnya dia akan
dilanda kesempitan." Peringatan Allah seperti ini adalah berlian
yang mampu menyinari seluruh hidup kita jika kita mahu menjadikan-
nya sebagai iktibar.
Sayang sekali, berlian kurniaan Allah sedang dipinggirkan oleh
umat Islam hari ini. Yang paling membimbangkan kita ialah ia
turut dipinggirkan oleh generasi muda yang bakal memimpin negara.
Sebagai contoh, mari kita lihat semula kepada keputusan PMR bagi
tahun 1995. Keputusannya menampakkan peningkatan secara
keseluruhannya. Namun pencapaian dalam mata pelajaran fardu ain
agak menyedihkan. 6,779 pelajar telah gagal dalam mata pelajaran
ini. 616 daripada mereka gagal dalam aspek yang berkaitan dengan
ucapan dua kalimah syahadah, 1,533 gagal dalam aspek yang
berkaitan dengan rukun Islam dan 1,901 pula gagal dalam aspek
yang berkaitan dengan rukun iman.
Al-Quran yang merupakan wahyu Allah yang tidak ada tolok
bandingannya juga tidak dihargai oleh sebahagian umat Islam hari
ini. Pada bulan November 1995, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri telah membuat kenyataan bahawa dianggarkan 200,000
penduduk Islam di Malaysia yang berumur antara 35 ke 45 tahun,
tidak tahu sama sekali membaca Al-Quran.
Kita khuatir apabila kesemua ini berterusan nasib kita akan
berubah daripada kegemilangan kepada kehinaan. Inilah yang
diperingatkan Allah kepada kita melalui firmanNya dalam surah
Al-Anfal ayat 53-54 yang bermaksud; "Hal ini kerana sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkanNya
kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada
diri mereka sendiri. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengeta-
hui. (Keadaan mereka samalah) seperti Firaun dan pengikut-
pengikutnya serta orang-orang yang sebelum mereka. Mereka
mendustakan ayat-ayat Tuhan maka Kami membinasakan mereka."
Berhubung dengan ini Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim
berkata, "Allah menceritakan tentang keadilannya ketika menimpa-
kan sesuatu hukuman ke atas manusia. Dia tidak akan menarik
balik nikmat yang dikurniakan kepada seseorang melainkan jika
seseorang itu terjebak dengan dosa seperti yang telah berlaku
ke atas Firaun, pengikut-pengikutnya serta golongan yang seumpama
mereka."
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home