Wednesday, September 14, 2005

HASANAH DI AKHIRAT LEBIH UTAMA

Untuk cemerlang, manusia perlu menjadikan akhirat sebagai
keutamaan. Dunia bukannya destinasi terakhir bagi manusia
sebaliknya ia hanyalah satu persinggahan untuk mengambil bekalan.
Destinasi terakhir yang sepatutnya menjadi fokus kesemua manusia
ialah akhirat. Justeru, hasanah di akhirat adalah lebih baik dan
lebih wajar untuk diutamakan.

Dalam surah Al-A'la ayat 17 Allah berfirman ;

" DAN ALAM AKHIRAT MERUPAKAN TEMPAT YANG LEBIH BAIK
DAN TEMPAT YANG KEKAL ABADI. "

Dalam surah Al-Ankabut ayat 64 pula Allah berfirman ;

" DAN TIADALAH KEHIDUPAN DUNIA INI MELAINKAN SENDA GURAU
DAN MAIN-MAIN. DAN SESUNGGUHNYA AKHIRAT ITULAH YANG
SEBENARNYA KEHIDUPAN, JIKA MEREKA MENGETAHUI. "

Umat Islam menganggap dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam
dan akhirat sebagai tempat untuk menuai hasilnya. Mereka hanya
dianggap berjaya jika tanaman mereka di dunia dapat di tuai
di akhirat. Justeru, mereka sepatutnya tidak menjadi golongan
yang hanya mementingkan kejayaan di dunia semata-mata sebagaimana
yang diceritakan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 200 yang
bermaksud ;

" Ada diantara manusia yang berdoa, 'Wahai Tuhan kami
berilah kebaikan kepada kami di dunia,' dan tiadalah
bahagian (yang menyenangkan) bagi mereka di akhirat. "

Pelbagai aspek hasanah di dunia seperti kesihatan, harta benda,
pasangan hidup, ilmu dan seumpamanya hanyalah merupakan alat yang
sepatutnya digunakan untuk memperbanyakkan bekalan di akhirat.
Namun ramai manusia terpedaya kerana menganggapnya sebagai perkara
terpenting dalam hidup. Sebenarnya yang terpenting dalam hidup
ialah mendapat rahmat Allah di akhirat. Segala amalan serta
aktiviti di dunia tidak akan mendatangkan sebarang faedah di
akhirat kecuali jika ia dilaksanakan mengikut landasan syariat.

Dalam surah Al-Jathiyah ayat 18 Allah berfirman ;

" kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat
(peraturan) dari urusan agama, maka ikutilah syariat itu
dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak
mengetahui. "

Bekalan yang dibawa diharapkan akan diterima dan dirahmati Allah
sehingga melayakkan seseorang untuk mendapat hasanah di akhirat
iaitu syurga. Syurga merupakan kemuncak kepada kejayaan dan
kebahagiaan, dan ia adalah kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki.

Dalam surah Ali-Imran ayat 185 Allah berfirman ;

" Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada
hari kiamat akan disempurnakan pahala mu. Sesiapa yang
dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka
dia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain
melainkan kesenangan yang memperdayakan (ghurur). "

Kebahagiaan dan keseronokan yang di janjikan Allah untuk manusia
di akhirat tidak ada tolok bandingannya. Syarat untuk memiliki-
nya ialah iman, takwa serta amal. Dalam sebuah hadis Qudsi yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi bersabda ;

" (Allah berfirman) AKU (Allah) telah sediakan bagi hamba-
hamba KU yang soleh (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh
mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah
dirasai oleh hati manusia. "

Tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda baru-baru ini dengan
kemusnahan yang berlaku dalam sekelip mata menyedarkan kita
bahawa dunia hanyalah pinjaman dan sementara. Kesenangan
berbentuk pinjaman boleh diambil semula pada bila-bila masa.
Yang kekal abadi dan tidak akan musnah ialah akhirat. Itulah
yang utama perlu dibangunkan....

Wassalam

0 Comments:

Post a Comment

<< Home