HATI
Hati adalah penentu kepada kecemerlangan kita, dunia hinggalah
ke akhirat. Untuk memantapkan hati, beberapa ramuan diperlukan
dan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Antara ramuan yang
terutama ialah ilmu, mujahadah dan zikrullah. Ilmu yang berdasar-
kan Al-Quran dan As-Sunnah akan memastikan landasan yang
digunakan untuk membersihkan hati tidak terbabas dari garis
panduan syariat. Pada hari ini ramai orang bercakap tentang
hati, bercakap tentang sufisme yang berhubungkait dengan hati
tetapi mereka bercakap tanpa ilmu.
Bila kita menekan tentang ilmu, kita perlu sama-sama sedari
antara ilmu yang perlu dikuasai ialah ilmu tentang Allah, alam
ghaib, batas-batas syariat. Ramai dari kalangan yang mengamalkan
tasauf dan tarikat pada hari ini terbabas dan sesat disebabkan
oleh kejahilan tentang Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka hanya
bercakap tentang hati. Mereka bercakap tentang bagaimana hendak
menggilap hati tetapi ilmu yang mereka jadikan landasan bukan
berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Akhirnya mereka bukan meng-
gilap hati tetapi lebih mengotorkan hati. Hal ini berbeza dengan
tokoh-tokoh tasauf sebelum ini kerana mereka amat mementingkan
ilmu yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Maka landasan
tasauf yang mereka bawa adalah landasan yang berdasarkan Al-Quran
dan As-Sunnah bukan selain daripada kedua-dua itu.
Sebagai contoh, Junaid Al-Baghdadi pernah berkata seperti yang
diriwayatkan dalam kitab risalah-risalah Khusyairiah. Beliau
berkata mazhab kita dalam ilmu tasauf terikat dengan Al-Quran dan
As-Sunnah. Justeru untuk memantapkan hati Quran dan Sunnah
adalah landasan yang paling utama. Kemudian mujahadah. Ia mengawal
perjalanan hawa nafsu sehingga hati tidak terpengaruh dengan nafsu
yang jahat itu. Dengan itu mujahadah menyediakan hati untuk
ditingkatkan ketahap yang lebih tinggi. Peningkatan itu dicapai
dengan perantaraan zikrullah kerana ia boleh dikiaskan seperti
cahaya yang mampu menyinari hati. Cahaya ini akan menyerap masuk
keseluruh jasad dan anggota badan sehingga mempengaruhi setiap
tindak tanduk yang dilakukan oleh manusia.
Zikrullah yang paling penting ialah solat. Berhubung dengan ini
Allah S.W.T. dalam Surah Taha ayat 14 berfirman yang bermaksud,
"TEGAKKANLAH SOLAT AGAR KAMU DAPAT BERZIKIR ATAU MENGINGATI KU."
Ramai orang yang bertasauf dan tarikat, sesat disini. Mereka
mengatakan bahawa kita tidak perlu tegakkan solat. Yang kita
perlukan ialah zikir. Bila kita berzikir mata zikir itu menggan-
tikan zolat. Sedangkan Al-Quran menyatakan 'tegakkan solat' jika
hendak berzikir kepada Ku. Justeru kita yang hendak membersihkan
hati kenalah bersihkan hati berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah
dan jika membersihkannya berdasarkan dua perkara ini maka insya-
Allah kita akan mendapat kemantapan hati yang terbaik. Jangan
lupa apa yang disebutkan tadi bahawa ramuan untuk memantapkan
hati ialah ilmu yang betul disamping mujahadah dan zikrullah.
Imam Abu Laith Al-Samarkand dalam kitab 'Tambi hul Ghafirin'
mengutarakan 5 penawar yang dapat membersihkan hati :-
1) Bergaul dengan orang yang soleh
Orang-orang yang soleh juga merupakan orang yang berilmu
dan bermujahadah. Bila kita bergaul dengan mereka, kita
mendapat ilmu dan belajar cara bermujahadah.
2) Sentiasa membaca Al-Quran
Apabila kita membaca Al-Quran, sebenarnya kita sedang
berzikrullah.
3) Memelihara perut dari makanan yang haram
Andaikata kita mengambil makanan yang haram, hati kita akan
menjadi gelap.
4) Melakukan solat malam
Ia amat mencabar sekali kerana ia adalah waktu untuk berehat
dan tidur. Kita boleh saja berehat dan tidur tetapi gunakan
sedikit daripada waktu malam untuk bangun bersolat dan
bermunajat, berdoa kepada Allah. Dengan itu kita sedang
berzikrullah dan melawan nafsu atau bermujahadah.
5) Zikir dan berdoa kepada Allah
Ia dilakukan terutama pada waktu subuh dan waktu-waktu yang
lain.
Semua ini jika boleh kita lakukan merupakan ramuan-ramuan penting
untuk meningkatkan prestasi hati. Jika hati kita mantap,
keputusan yang kita buat juga tepat dan jika hati kita mantap
kita bergaul dengan masyarakat dan ada dari kalangan masyarakat
yang mengguriskan perasaan kita, kita masih lagi boleh bertenang
dan tidak tergesa-gesa dengan tindak tanduk kita. Semua ini
bermula dari hati. Jika hati kita mantap akan mantaplah
kehidupan. Tapi sebaliknya jika hati tidak mantap, tidak
diberikan ramuan-ramuan berpandukan Quran dan Sunnah yang
disebutkan tadi maka kita akan menjadi calun kepada kegelisahan,
gundah gulana dan seumpamanya yang melahirkan kesugulan atau
depression yang juga akan melahirkan pelbagai penyakit zahir dan
batin.
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home