KENALILAH ALLAH PADA MASA LAPANG
"Peliharalah Allah S.W.T. nescaya engkau dapatiNYA berada
dihadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan
kenalilah ALLAH pada masa lapang, nescaya IA akan kenal
engkau dimasa susah, dikala engkau sedang menghadapi
perkara sukar."
- ( Hadith riwayat At-Tarmizi )
Mengenali Allah bukan hanya sekadar mengetahui nama dan sifatnya
sahaja tetapi wajib ingat serta patuh kepada perintahNYA didalam
semua keadaan.
Sebenarnya mengingati Allah pada masa senang amatlah sukar
sekali kerana seseorang dalam keadaan kesenangan membuatnya lupa
kepada Allah. Dengan itu jadilah ia sebagai orang yang lupa dan
lalai. Oleh itu Rasulullah S.A.W. memerintahkan agar mengingati
Allah S.W.T. dalam segala keadaan tanpa dipengaruhi oleh faktor
kesusahan atau pun kesenangan.
Nabi Yunus orang yang tetap ingat kepada Allah pada masa lapang.
Sehingga doanya diperkenankan dalam waktu kesusahan sesuai dengan
Hadith Rasulullah S.A.W. ;
"Bahawa barangsiapa yang suka diperkenankan doanya oleh Allah
pada waktu susah, hendaklah ia membanyakkan doa pada waktu
lapang."
Menurut satu riwayat, apabila Nabi Yunus A.S. berada diperut ikan,
maka berkatalah Malaikat;"Hai Tuhan ku, inilah saudara orang yang
sudah lama terkenal dari negeri yang jauh". Maka berfirman Allah
S.W.T. kepadanya "Tidakkah engkau kenal ia? berkata Malaikat lagi
"Siapakah orangnya?" Firman Allah S.W.T. "Inilah hambaKu Yunus."
Setelah itu Malaikat bertanya lagi, Hamba Mu Yunus yang amalannya
sentiasa diangkat dan diterima doanya"? jawab Allah "Ya". Lalu
Nabi Yunus dilepaskan dan diselamatkan berkat dari baktinya
kepada Allah.
Inilah yang difirmankan oleh Allah dalam Surah As-Shaffat : 143-
145) ertinya;
"Maka sekiranya tidak ia dari mereka yang banyak bertasbih,
nescaya tinggallah dalam perut (ikan) itu hingga hari
dibangkitkan. Lalu kami campakkan ia ditanah dalam keadaan
sakit."
Apa yang berlaku kepada Nabi Allah Yunus tidak sama dengan apa
yang berlaku kepada Firaun diwaktu ia dalam keadaan karam dilaut
Qalzum, sebagaimana diceritakan Allah bilamana Firaun hampir
ditenggelamkan.
"Apakah sekarang (engkau hendak beriman) pada hal sesungguhnya
engkau dahulunya derhaka dan adalah engkau dari golongan
orang-orang yang berbuat kerosakan."
- ( Surah Yunus : 91 )
Keimanan Firaun tidak diterima disisi Allah disebabkan keimanan
dalam keadaan terpaksa, maka binasalah ia akibat daripada
kekufuran dan kekejamannya dimasa lalu.
Salman Al-Farisi R.A seorang sahabat meriwayatkan ;
Apabila seseorang selalu memohon kepada Allah S.W.T. dimasa
senang, kemudian dirinya kesusahan lalu berdoa kepada Allah
S.W.T. maka berkatalah Malaikat ; "Suara ini sudah terkenal,
maka tolonglah akan orang yang mempunyai suara itu."
Sebaliknya jika suara tidak dikenali selama ini kecuali masa
susah, Malaikat itu berkata ; "Suara itu tidak pernah dikenal,
maka janganlah ditolong akan ia."
Sebagaimana ayat yang selalu kita baca (yang ertinya) ; "Kepada
ENGKAU kami sembah dan kepada ENGKAU kami minta pertolongan."
Ayat ini mengajar kita supaya menyembah dan beribadat, beramal
dan bekerja, berikhtiar dan bersabar. Kemudian memohon
pertolongan kepada Allah dalam segala keadaan. Tidak ada doa
kalau tidak ada sesuatu usaha yang sesuai dengan doa itu atau
tidaklah ada erti doa kalau tidak ada kerjanya, tidak ada amalnya.
Wassalam.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home